PRN Sabah: Jeffrey bakal jadi mangsa politik sendiri, kata penganalisis

PRN Sabah: Jeffrey bakal jadi mangsa politik sendiri, kata penganalisis

Syahrudin Awang Ahmad berkata penentangan lima Adun STAR terhadap keputusan keluar GRS menunjukkan mereka serta akar umbi lebih mementingkan peluang menang.

STAR-Jeffrey Kitingan
Ellron Alfred Angin (dua dari kiri) dan Abidin Madingkir (kanan) antara lima Adun STAR sokong GRS, berbeza keputusan dibuat Jeffrey Kitingan (tengah). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan mungkin berisiko menjadi antara ‘mangsa politik’ pada PRN Sabah susulan penentangan ahli akar umbi yang tidak berpuas hati dengan tindakannya keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Syahrudin Awang Ahmad berkata bibit-bibit perpecahan dalam parti berasaskan komuniti Kadazan-Dusun-Murut (KDM) itu dapat dilihat apabila lima Adun yang juga pemimpin utamanya berani mencabar keputusan dibuat Kitingan, dipercayai tanpa restu akar umbi.

“Fenomena penentangan ini menggambarkan kesetiaan politik bukan semata-mata kepada presiden parti, tetapi lebih kepada kepentingan kawasan dan peluang menang di tengah-tengah landskap politik Sabah yang tidak menentu.

“Jadi kemungkinan besar PRN17 akan menyaksikan ‘top gun’ dalam politik Sabah tumbang satu demi satu, bila orang bawahan sudah berani melawan ketua mereka,” kata penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) itu kepada FMT.

Beliau tidak menolak Jeffrey antara pemimpin dimaksudkan apabila menyebut ‘top gun’ yang mungkin menerima padah atas keputusan politik sendiri.

“Ahli akar umbi mungkin melihat Kitingan berisiko meletakkan parti itu di luar pengaruh status quo.”

Semalam, dua Timbalan Presiden STAR, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik – masing-masing penyandang DUN Sook serta Bingkor menyokong GRS pimpinan Hajiji Noor pada PRN.

Turut berbuat demikian, Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan) serta Flovia Ng (Tulid).

Difahamkan, lima wakil rakyat ini mungkin bertanding dengan status keahlian langsung GRS jika dipilih sebagai calon.

STAR Kuamut juga menyatakan sokongan kepada GRS. Keputusan itu dibuat kurang seminggu selepas Kitingan mengumumkan parti terbabit keluar gabungan bersama Parti Maju Sabah (SAPP) kerana ingin bertanding solo.

Mengulas lanjut, Syahrudin berkata Kitingan yang juga penyandang DUN Tambunan tidak mempunyai banyak pilihan dalam mencari rakan strategik memandangkan PRN semakin hampir, selepas DUN Sabah dibubarkan semalam.

“Kalau mahu kerjasama dengan Warisan (bawa sentimen tempatan) mungkin boleh tetapi sejauh mana keberaniannya? Sebab perjuangan dari awal tidak sebulu dengan parti itu.

“Mungkin terpaksa melawan bersendirian untuk elak kalah malu,” katanya.

Akar umbi dalam dilema

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpendapat, tindakan Kitingan mahu STAR bertanding solo akan meletakkan sebahagian besar penyokong parti itu dalam dilema.

“Langkah dibuat di saat-saat akhir dan ramai penyokong seera pemimpin bahagian sukar menerima perubahan drastik itu.

“Sebahagian mereka akan kekal bersama GRS, lebih-lebih lagi kerana GRS menyediakan saluran keahlian langsung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.