‘Kasih sayang bukan dari dompet’, wanita bantah cadangan elaun suri rumah

‘Kasih sayang bukan dari dompet’, wanita bantah cadangan elaun suri rumah

Persatuan Wanita Inspirasi Negara berkata kasih sayang isteri atau ibu adalah anugerah dan amanah untuk dilaksana sebaiknya bukan pekerjaan patut diberi gaji.

Norhimah Aziz dan Afnan Hamimi Taib Azamudden
Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara Norhimah Aziz akui cadangan Afnan Hamimi Taib Azamudden adalah baik namun berpandangan kasih sayang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
PETALING JAYA:
Persatuan memperjuangkan hak wanita membantah cadangan wakil rakyat pembangkang supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan termasuk elaun kepada suri rumah sepenuh masa.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, mengakui cadangan itu berniat baik namun berpandangan kasih sayang, perhatian dan pengorbanan dalam rumah tangga bukan sesuatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Saya rasa cadangan memberi elaun kepada suri rumah ini perlu dilihat dengan hati, bukan sekadar angka. Niatnya mungkin baik untuk menghargai pengorbanan isteri dan ibu yang berkhidmat sepenuh masa kepada keluarga.

“Tetapi bagi saya, kasih sayang seorang isteri atau ibu adalah anugerah dan amanah untuk dilaksana sebaik-baiknya dan bukan pekerjaan yang patut diberi gaji,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan termasuk elaun kepada wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa demi membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.

Afnan berkata di Dewan Rakyat, tugas suri rumah yang menjaga anak seharusnya dianggap setaraf pekerjaan profesional.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial berkaitan pendidikan awal.

Tuan Ibrahim menyatakan sokongan terhadap cadangan itu dan berkata ramai ibu bapa kini terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan seawal usia tiga bulan kerana tuntutan ekonomi.

Mengulas lanjut, Norhimah bimbang apabila kasih sayang mula dikaitkan dengan elaun yang lama-kelamaan sifat itu akan menjadi ‘kabur’, kerana amanah sebagai pasangan dan ibu bapa datang dari hati bukannya ‘dompet’.

Menurutnya, kerajaan boleh memberi bantuan kepada suri rumah dalam bentuk yang lebih baik seperti dari segi latihan kemahiran, sokongan kesihatan mental atau skim simpanan masa depan.

“Itu lebih memartabatkan peranan mereka, tanpa mengurangkan nilai kasih sayang yang suci dan murni. Kasih sayang tidak wajar dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Nurul Amal Mohd Fauzi.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata cadangan Afnan sebaiknya dimulakan melalui kerajaan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) supaya menjadi contoh kepada persekutuan.

Katanya, cadangan itu baik jika kerajaan sudah bersedia tetapi mesti disokong oleh semua sektor.

Beliau turut menyarankan bagi menyeimbangkan kualiti masa dengan anak-anak, sektor swasta boleh menyediakan modul seperti dua atau tiga hari seminggu bekerja dari rumah, yang lebih efisien dan sesuai dengan peredaran masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.