Realistik tuntut kerusi, ambil kira sentimen tempatan Sabah, PH diberitahu

Realistik tuntut kerusi, ambil kira sentimen tempatan Sabah, PH diberitahu

Penganalisis Syahruddin Awang Ahmad berkata sentimen dan dominasi parti tempatan dijangka beri kelebihan kepada GRS manakala PH disaran tumpu kerusi sedia dimenangi.

Penganalisis berkata Pakatan Harapan perlu terima hakikat popularitinya di Sabah boleh dikatakan terhad.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) perlu lebih realistik dalam menuntut kerusi pada PRN Sabah dengan mengambil kira sentimen kuat rakyat terhadap parti tempatan selain rekod pilihan raya lima tahun lalu, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

Menurut Syahruddin Awang Ahmad dan Lee Kuok Tiung, GRS perlu diberi kerusi lebih banyak untuk mengekalkan dominan menerusi kerjasama dengan PH, seiring kebangkitan sentimen terhadap parti tempatan.

Menyingkap PRN 2020, Syahruddin, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) berkata komponen PH terutama PKR perlu menilai keputusannya menang dua kerusi daripada lapan ditandingi, Inanam dan Api-Api selain menerima undi popular sekitar 3%.

“Memberi tumpuan sumber untuk mempertahankan kerusi seperti Inanam dan Api-Api adalah strategi lebih munasabah (bagi PKR),” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan PH menuntut 23 kerusi daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan 13 daripada kerusi itu dicadangkan diberi kepada PKR manakala masing-masing lima untuk DAP dan Upko.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, mengesahkan partinya akan pertahan enam DUN dimenangi pada PRN Sabah 2020 iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat selain mengintai dua kerusi di pedalaman.

Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, pula dipetik berkata komponen itu mahu bertanding 55 daripada 73 kerusi dan menyerahkan baki 18 DUN kepada PH, selaku rakan kerjasama PRN.

Mengulas lanjut, Syahruddin berkata PH juga wajar memberi laluan kepada GRS bertanding di banyak kerusi bagi mengekalkan persefahaman strategik selain pengaruh komponen itu lebih kuat dengan sentimen tempatan.

“GRS sepatutnya bertanding sekurang-kurangnya 55 kerusi bagi memastikan penguasaan majoriti mudah.

“Jika PH dan PKR terlalu menuntut kerusi, ia boleh mencetuskan persepsi negatif parti nasional masih mahu mendominasi politik Sabah,” katanya tidak menolak kemungkinan kesannya kepada keyakinan pengundi terhadap semangat autonomi negeri.

Terima hakikat

Lee dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata, PH perlu menerima hakikat popularitinya di Sabah boleh dikatakan terhad atau terbatas, lebih-lebih lagi dengan sentimen kuat terhadap parti tempatan.

Lee Kuok Tiung
Lee Kuok Tiung.

“PRN17 akan menjadi ‘acid test’ kepada PH sebagai parti nasional untuk mengharungi landskap politik Sabah yang rumit dan menyaksikan kebangkitan sentimen parti tempatan.

“PH perlu realistik dalam suasana politik Sabah yang sengit, bukan ambil kesempatan ‘peras ugut’ untuk dapat kerusi banyak,” katanya yang turut mengingatkan komponen itu supaya berhati-hati kerana mereka juga bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Ia seharusnya jelas dengan perebutan kuasa antara GRS dengan Umno, bimbang mereka ‘checkmate’ diri sendiri. Kerjasama ini (berjaya) jika sekutunya popular boleh bantu menarik undi, tetapi sekiranya rakan kerjasama itu bawa liabiliti maka akan menyusahkan pula,” katanya.

Calon pengukur terbaik

Bagaimanapun, Wong Chin Huat dari Sunway University melihat tuntutan PH tidak berlebihan mengambil kira 27 kerusi ditandingi pada PRN 2020 oleh PKR dan DAP selain Upko yang menyertai PH pada 2021.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Upko menang kerusi tunggal iaitu DUN Kadamaian menerusi Presiden Ewon Benedick. Bekas parti komponen BN itu bertanding solo di 12 kawasan pada pilihan raya berkenaan.

“Tetapi pengukur paling baik ialah peluang kemenangan di setiap kawasan yang tertakluk kepada bukan saja gabungan atau parti bertanding tetapi juga calon.

“Keputusan terakhir paling meyakinkan kalau ia berdasarkan selidik pendapat awam (opinion poll), bukan tuntutan gabungan,” kata Wong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.