
Jawatankuasa pilihan khas wanita, kanak-kanak dan pembangunan masyarakat itu juga mencadangkan sebuah agensi induk tunggal ditubuhkan bagi memantau hal ehwal penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang kini terletak di bawah beberapa kementerian.
Menurut pengerusinya, Yeo Bee Yin (PH-Puchong), Akta Penjagaan dan Didikan Awal Kanak-kanak (ECCE) yang dicadangkan itu akan menyatukan semua urusan berkaitan di bawah satu entiti, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan menjamin permulaan hidup yang adil untuk semua kanak-kanak.
“Jawatankuasa mengesyorkan supaya satu akta khusus digubal bagi mengawal selia dan membangunkan sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dari baru lahir hingga enam tahun,” katanya ketika membentangkan laporan jawatankuasa itu di Dewan Rakyat.
Jawatankuasa itu seterusnya mengesyorkan pewujudan sebuah majlis ECCE kebangsaan bagi menyelaras gerak kerja agensi kerajaan, selain memindahkan semua program termasuk Tabika Perpaduan di bawah naungan Kementerian Pendidikan (KPM), bukan Kementerian Perpaduan Negara.
Yeo berkata, kerajaan juga perlu menaikkan peruntukan bagi pembangunan awal kanak-kanak dalam Belanjawan 2026, sekurang-kurangnya 0.5% daripada KDNK berbanding hanya 0.1% pada masa ini.
Katanya, peruntukan itu wajar dimanfaatkan untuk membina lebih banyak pusat jagaan awam, menyalurkan geran kepada pusat swasta yang menawarkan yuran berpatutan, melatih serta mengiktiraf guru pendidikan awal kanak-kanak, di samping memperluas subsidi kepada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau berkata, jawatankuasa itu mendapati urusan kelulusan dan lesen bagi pengusaha taska dan tadika masih membebankan serta tidak seragam antara pihak berkuasa tempatan, menyebabkan banyak pusat tidak berdaftar, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko keselamatan.
Jelasnya, banyak pusat jagaan mampu milik terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi tanpa sebarang bantuan kerajaan, menyebabkan ada yang gulung tikar atau terpaksa menaikkan yuran.
Sementara itu, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang menyambut baik gesaan jawatankuasa itu berkata, rakyat ‘kehilangan anak-anak’ terlalu awal apabila ramai bayi seawal usia tiga bulan terpaksa berenggang dengan ibu bapa, menghabiskan hari di pusat jagaan.
Beliau turut menyokong gesaan agar suri rumah diiktiraf sebagai golongan profesional dan diberikan elaun, memandangkan ramai ibu bekerja sekadar untuk menampung kos penjagaan anak.
“Kalaulah kerajaan boleh pertimbang suri rumah itu dianggap sebagai satu pekerjaan profesional dan diberi elaun yang sesuai, barulah ibu-ibu ini boleh sepenuh masa memberi kasih sayang dan didikan pada anak-anak,” katanya.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mendedahkan ramai ibu muda terpaksa mengorbankan kerjaya ekoran ketiadaan pusat jagaan anak yang berpatutan serta kos pembantu rumah yang melambung tinggi.
“Mereka diharapkan untuk bekerja secara profesional … balik rumah jadi pengasuh dan juga suri rumah,” katanya.
Menurutnya, sesetengah keluarga terpaksa menanggung yuran pendahuluan lebih RM20,000 untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah asing, tetapi akhirnya pembantu tersebut menghilangkan diri selepas beberapa bulan, menyebabkan ibu bapa buntu.
“Ini bukan situasi kecil. … (Ada yang) buat group (di Facebook) kerana pembantu rumah mereka melarikan diri,” katanya.
Syed Saddiq mengusulkan agar kerajaan menawarkan pendidikan prasekolah percuma, meningkatkan pelepasan cukai bagi kos penjagaan anak, dan memperkenalkan insentif cukai khas untuk keluarga yang mengambil dan melatih pembantu rumah untuk menjaga anak mereka.
Ketika menggulung perbahasan bagi pihak jawatankuasa, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mendesak kerajaan supaya menambah subsidi, selain menimbang pemberian bantuan tunai langsung kepada keluarga miskin dan menyalurkan geran kepada pusat-pusat jagaan yang menawarkan yuran berpatutan.
“Kita cadangkan dua jenis subsidi. Satu subsidi terus kepada rakyat miskin … dan satu lagi kepada pusat-pusat yang menyediakan perkhidmatan ini,” katanya.