
Charles Santiago daripada DAP, berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati kepincangan serius dalam Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS), di mana terdapat pengguna tanpa kebenaran meluluskan permohonan serta perolehan dibuat tanpa melalui proses sewajarnya.
Beliau mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses perolehan bagi sistem digital baharu yang dikenali sebagai ‘Universal Recruitment Advanced Platform’, atau Turap.
“Mengapa Bestinet lagi? Adakah ada bidaan lain? Adakah tender terbuka dijalankan? Tidakkah ada firma kompeten lain? Menyerahkan sistem nasional yang kritikal kepada syarikat sama yang kini sedang dalam pemerhatian adalah sesuatu memalukan.
“Dan berapa pula kos untuk membangunkan Turap? Siapa yang akan membayarnya? Kerajaan, majikan, atau akhirnya pekerja lagi?” kata bekas Ahli Parlimen Klang itu dalam kenyataan.
Santiago menyeru Kabinet membatalkan cadangan berkenaan, sebaliknya mendesak satu perjanjian buruh dua hala yang mengikat dimeterai dengan negara sumber bagi membendung salah guna dan eksploitasi pekerja asing.
Semalam, Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan laporan Bloomberg yang memetik sumber antara lain mendakwa Malaysia akan menggunakan sistem Turap dibangunkan Bestinet, syarikat diasaskan hartawan buruh, Aminul Islam.
Sistem itu berfungsi bagi membolehkan majikan menggaji pekerja secara langsung dan bukannya menerusi orang tengah, dengan syarikat dikenakan caj USD1,000 bagi setiap permohonan. Kontrak yang dicadangkan itu dikatakan untuk tempoh 12 tahun.
Cadangan tersebut dilaporkan telah ditentang bekas menteri sumber manusia, Steven Sim, sebelum rombakan Kabinet pada Disember lalu disebabkan beberapa kebimbangan, termasuk prospek memberikan lebih banyak kuasa kepada Aminul dan Bestinet.
Ramanan menyangkal laporan Bloomberg, sambil menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, dengan menyatakan ia mengandungi butiran tidak diketahui walaupun oleh beliau sendiri selaku menteri bertanggungjawab.
Namun, Ramanan kemudiannya dipetik NST sebagai berkata, bahawa beliau tidak melihat sebarang masalah mengguna pakai sistem baharu Bestinet, dan perbincangan mengenai pelaksanaannya sedang berjalan.
Santiago menuntut ketelusan berhubung urus janji itu, dengan menyatakan kontrak 12 tahun melibatkan pergerakan berjuta-juta pekerja asing tidak seharusnya dirundingkan secara rahsia.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kontrak itu ditetapkan bagi tempoh 12 tahun dan hanya melibatkan satu vendor swasta sahaja.
“Tiada kerajaan yang patut mengikat tangan tiga pentadbiran akan datang untuk tempoh yang begitu lama sehingga ia secara berkesan menghalang sebarang reformasi, semakan semula, dan persaingan. Kepentingan siapa yang mahu dilindungi dalam tempoh masa itu?” katanya.