
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan bayaran bantuan berkenaan akan disalurkan pada 21 April, menjadikannya kali kedua kadar bantuan tersebut dinaikkan susulan krisis berkenaan.
“Kerajaan bersetuju menaikkan kadar bantuan tunai ini sebagai langkah bersasar untuk meringankan beban rakyat yang terkesan,” katanya yang juga menteri kewangan dalam kenyataan.
Beliau berkata, BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan tambahan peruntukan sekitar RM20 juta sebulan.
Bagi BUDI Diesel Individu pula, kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dijangka menerima manfaat dengan tambahan dana sekitar RM15 juta sebulan.
Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi April, termasuk tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga inisiatif bantuan diesel.
“Langkah penambahbaikan itu dibuat susulan krisis tenaga global yang berlarutan, yang terus menekan kos bahan api dan rantaian bekalan di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, gangguan bekalan petroleum dunia menyebabkan harga diesel bertapis melonjak sehingga USD250 setong, hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat.
Katanya, kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos itu kepada rakyat, khususnya golongan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu.
“Kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos ini kepada rakyat, khususnya pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel individu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut bersetuju melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan, termasuk membenarkan pemilik jentera pertanian membeli melebihi 20 liter dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
“Syarat permit khas akan dilonggarkan bagi memudahkan pembelian diesel untuk kegunaan jentera pertanian, dengan garis panduan lanjut akan diumumkan,” katanya.