Wanita antara 8 disambung reman kes culik di Kelantan

Wanita antara 8 disambung reman kes culik di Kelantan

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Lapan suspek berbaju lokap berwarna oren dan menutup muka tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi tadi. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan kerana disyaki menculik seorang lelaki di Pasir Puteh, disambung reman dua hari bermula esok.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid, selepas membenarkan permohonan polis bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Terdahulu, semua suspek berbaju lokap berwarna oren dan menutup muka tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 8.30 pagi tadi.

Pada 2 Okt lalu, semua suspek berusia 20 hingga 46 tahun itu ditahan di enam lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat, manakala mangsa culik berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, dalam kejadian 26 Sept lalu, mangsa dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh dan suspek meminta wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa.

Selain penahanan lapan suspek, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 15 telefon bimbit, tiga kenderaan, seutas rantai besi bersama lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel serta pakaian dipakai semasa kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.