Suami isteri antara 3 didakwa edar 510kg dadah

Suami isteri antara 3 didakwa edar 510kg dadah

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dekat Padang Besar, Perlis pada 24 Mac lalu.

mahkamah kangar
Tertuduh dihadapken ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini. (Gambar fail)
KANGAR:
Tiga individu termasuk suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 510kg dadah jenis methamphetamine di Wang Kelian, Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Rizuan Ramli, 37, serta pasangan suami isteri, Muhammad Amir Aswad Ismail, 27, dan Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes pengedaran dadah adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga individu itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 510,000g di jalan utama berhampiran persimpangan mini tar pencawang TNB Wang Kelian, Jalan Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar kira-kira 9.30 pagi, 24 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan manakala semua tertuduh diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.