
Komuniti 27,263 syarikat Bumiputera itu mengingatkan kestabilan hubungan ini mempunyai kesan langsung ke atas peratusan besar eksport negara, juga kilang-kilang dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pekerjaan.
Presiden Azamanizam Baharon menjelaskan eksport negara ke AS pada 2024 sahaja mencapai sekitar USD43.43 bilion, manakala perdagangan Malaysia-AS menyumbang kira-kira 11.8% daripada keseluruhan perdagangan negara pada Januari 2025.
Langkah AS mengenakan tarif 19% ke atas barangan Malaysia pada Ogos menuntut Malaysia menjaga hubungan dengan AS supaya tidak kehilangan akses kritikal ke pasaran AS, tambahnya.
Perdasama berkata sektor utama negara berpotensi terjejas, di samping kesan penutupan kilang, pemberhentian pekerja beramai-ramai, serta kesan domino ke atas ekosistem PMKS, sekiranya hubungan dengan AS tergugat.
“Bagi Perdasama, melindungi ekonomi adalah asas kepada melindungi rakyat dan kepentingan negara,” menurut kenyataan, dan menambah ramai ahlinya terlibat dalam perdagangan secara langsung dan tidak langsung dengan AS.
Dalam pada itu, Perdasama menolak anggapan yang mempertikaikan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin, mengatakan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan yang membuktikan ia berani mempertahankan hak rakyat Palestin dan menjadi suara moral dunia Islam.
Selain mengharamkan kapal dan syarikat perkapalan berkaitan Israel daripada memasuki pelabuhan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil risiko geopolitik apabila secara terbuka menolak tekanan kuasa besar yang cuba menghalang Malaysia daripada menyokong Palestin, katanya.
“Sebagai suara kolektif usahawan Bumiputera, Perdasama menyokong usaha kerajaan memastikan ekonomi negara terus dilindungi, peluang pekerjaan rakyat terjamin, dan dalam masa sama, Malaysia terus istiqamah dalam perjuangan membela rakyat Palestin,” tambahnya.
Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 dijadual berlangsung sempena Sidang Kemuncak Asean.
Libat urus AS bersama blok yang mewakili 10 negara Asia Tenggara ini menyusuli kontroversi tarif yang Washington kenakan ke atas banyak negara, termasuk di rantau ini yang bergantung pada perdagangan.
AS tidak menolak kemungkinan tarif lebih tinggi akan dikenakan, sekiranya rundingan gagal membuahkan hasil, lapor The Star yang memetik Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer sebagai berkata, pada 25 Sept lalu.
Anwar memaklumkan kepada Parlimen bahawa presiden AS mengesahkan kehadiran, bulan lalu.
Selain Trump, Perdana Menteri China Li Qiang dilapor mengesahkan kehadiran manakala Presiden Rusia Vladimir Putin masih mempertimbangkan undangan.