
Bendahari DAP KL, Ben Fong, berkata ramai peniaga kecil dan kedai makan di pusat bandar mendakwa perniagaan mereka merosot 25% sepanjang sidang kemuncak itu akibat kekurangan pengunjung susulan penutupan jalan dan lencongan lalu lintas.
Menurutnya, ramai pekerja pejabat dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh itu, sekali gus menyebabkan jumlah pelanggan biasa berkurangan.
Justeru, beliau mencadangkan bantuan RM5,000 ditawarkan kepada perniagaan runcit berpendapatan tahunan RM500,000 dan ke bawah.
Katanya, perniagaan lebih besar lazimnya mampu menyerap impak itu.
“Kedai kopi, kedai serbaneka dan restoran kecil yang banyak bergantung kepada pelanggan ‘walk-in’ serta pelancong antara paling teruk terjejas.
“Walaupun jumlah itu mungkin tidak dapat menampung kekurangan pendapatan mereka sepenuhnya, ia merupakan tanda muhibah bermakna kepada pemilik perniagaan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi bandar kita,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, terdapat penutupan jalan untuk Sidang Kemuncak Asean lain tahun lalu yang turut menjejaskan peniaga dan perniagaan kecil.
Beliau berkata, pampasan RM5,000 untuk perniagaan kecil tidak akan menelan banyak belanja Putrajaya berbanding limpahan ekonomi dijana daripada Sidang Kemuncak Asean dan acara berkaitan.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri sepatutnya tidak berdepan kesukaran mengenal pasti penerima layak kerana ia ada rekod perniagaan kecil.”