Kerusi keselamatan kanak-kanak wajar pakej dengan kereta baharu, gesa pakar

Kerusi keselamatan kanak-kanak wajar pakej dengan kereta baharu, gesa pakar

Gesaan ini bagi memastikan setiap keluarga yang memperolehi kereta baharu dilengkapi perlindungan asas.

kemalangan tol
Bayi berusia 16 bulan antara maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, pada Sabtu lalu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tragedi maut yang mengorbankan seorang bayi berusia 16 bulan di Plaza Tol Bukit Kajang minggu lalu perlu menjadi pemangkin kepada perubahan sistemik, dengan pakar keselamatan jalan raya menggesa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) wajib dipakejkan bersama pembelian kenderaan baharu.

Gesaan ini bagi memastikan setiap keluarga yang memperolehi kereta baharu dilengkapi perlindungan asas ini, terutama selepas siasatan awal mendapati bayi yang maut dalam nahas empat kenderaan itu tidak diletakkan dalam CRS.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, menegaskan bayi terdedah kepada risiko tercampak atau hentakan ketika perlanggaran, tanpa CRS yang sesuai.

“Dalam situasi ini, kecederaan boleh menjadi lebih serius, bahkan membawa maut. CRS direka untuk menyerap sebahagian tenaga hentakan ketika kemalangan, serta mengekalkan kedudukan tubuh kanak-kanak dalam keadaan paling selamat,” katanya.

Beliau menambah, tidak seperti tali pinggang keledar biasa yang tidak sesuai untuk tubuh kecil, CRS mempunyai sokongan menyeluruh, termasuk tali keselamatan berbilang titik. Ini terbukti penting kerana statistik antarabangsa menunjukkan kerusi keselamatan yang dipasang betul boleh mengurangkan risiko kematian lebih 50% bagi kanak-kanak dalam kemalangan.

Malah, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, dilapor mengesahkan bayi itu tercampak keluar lalu tersepit di bawah kenderaan lain selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol itu Sabtu lalu.

Langkah radikal tingkat penggunaan

Di sebalik kebimbangan Law mengenai penguatkuasaan penuh penggunaan CRS yang masih longgar, aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin, pula mencadangkan langkah radikal untuk meningkatkan kadar penggunaan.

Beliau menggesa syarikat pengeluar kereta tempatan, seperti Perodua dan Proton, untuk menawarkan insentif dengan memasukkan pakej pembelian kereta sekali dengan CRS berjenama baik.

“Ada pelbagai cara jika nak mula dari ibu bersalin,” tegas Shahrim.

Selain insentif, kempen kesedaran mesti diperhebatkan di semua peringkat termasuk media sosial, bahkan boleh bermula di tempat jualan kereta dan di hospital agar penggunaan CRS sebagai amalan standard bermula saat ibu bapa membawa pulang bayi dari hospital.

Langkah ini boleh seiring dengan komunikasi tanpa henti mengenai CRS, melibatkan setiap peringkat kerajaan dan komuniti setempat.

“Ini perlu dilakukan di setiap negeri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta NGO,” katanya.

Sementara itu, Law mengingatkan ibu bapa bahawa kerusi keselamatan kanak-kanak adalah pelaburan penting, bukannya kemewahan.

“Ramai beranggapan perjalanan dekat tidak memerlukan CRS, sedangkan banyak kemalangan berlaku dalam jarak beberapa kilometer dari rumah,” katanya.

“Pemilihan kerusi mengikut umur dan berat anak, pemasangan betul, serta penggunaan tali keselamatan ketat adalah faktor kritikal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.