Bayi maut nahas: Ibu bapa digesa guna kerusi keselamatan budak

Bayi maut nahas: Ibu bapa digesa guna kerusi keselamatan budak

Miros berkata hanya 30% ibu bapa guna CRS, yang diwajibkan sejak 2020.

kemalangan tol bukit kajang
Seorang bayi lelaki 16 bulan maut, manakala lapan lagi cedera dalam nahas empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang Sabtu lalu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menyeru ibu bapa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan susulan kemalangan maut mengorbankan seorang bayi di Plaza Tol Bukit Kajang minggu lalu.

Menurutnya, statistik polis dari 2014 hingga 2023 menunjukkan purata 434 kematian kanak-kanak direkodkan akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, bersamaan kira-kira lapan kematian seminggu.

“Meskipun penggunaan CRS diwajibkan sejak 1 Jan 2020, kadar pemakaiannya kekal rendah. Kajian Miros pada 2022 mendapati hanya 30% ibu bapa menggunakan CRS ketika membawa anak kecil dalam kenderaan.

“Penggunaan CRS yang dipasang dengan betul dan bersesuaian berat serta ketinggian anak boleh mengurangkan risiko kematian kanak-kanak hingga 4 tahun antara 54% hingga 71%,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Miros menggesa semua pihak termasuk pembuat dasar, penguat kuasa dan industri memperhebatkan advokasi serta pendidikan berkaitan keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan.

“Banyak nyawa boleh diselamatkan jika kenderaan diselenggara dengan baik, undang-undang dipatuhi dan keselamatan penumpang, terutamanya kanak-kanak diutamakan.”

Sabtu lalu, seorang bayi lelaki 16 bulan maut, manakala lapan lagi cedera dalam nahas empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.

Hasil siasatan awal mendapati bayi itu tidak diletakkan dalam CRS ketika nahas.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, bayi itu tercampak keluar lalu tersepit di bawah kenderaan lain selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol itu.

Miros berkata, penilaian teknikal sedang dijalankan ke atas lori itu, termasuk pemeriksaan sistem brek bagi mengenal pasti jika terdapat bukti kegagalan fungsi atau faktor lain sebagai punca utama nahas.

Katanya, ia turut bekerjasama rapat dengan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Penyelenggaraan kenderaan secara berkala amat penting, terutama bagi kenderaan komersial yang membawa muatan berat dan kerap berada di jalan raya.”

Ia mengingatkan pengusaha lori sentiasa memeriksa sistem brek, tayar serta komponen kritikal lain sebelum memulakan perjalanan, selain pematuhan had laju, jadual rehat dan pemanduan selamat perlu diberi perhatian serius.

Berdasarkan data Miros dari 2011 hingga 2015, lebih 1,000 kemalangan maut melibatkan kenderaan berat direkodkan setiap tahun, dengan lebih 80% kematian membabitkan pengguna jalan raya lain.

Majoriti nahas itu berlaku di lebuh raya berjalan lurus, dengan kemalangan membabitkan motosikal mencatatkan kadar kematian tertinggi, iaitu 61%.

Dalam kajian berasingan pada 2022, hanya 31.9% pengendali kenderaan awam dan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP), dengan pematuhan tertinggi dicatatkan syarikat besar dan pengendali bas ekspres, manakala pengusaha lori hanya 4%.

Miros mencadangkan pelan keselamatan khusus bagi kenderaan berat, termasuk pemantauan berasaskan GPS, kawalan kelajuan lebih ketat dan audit keselamatan berkala bagi pengendali mencatat prestasi lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.