
Syahredzan Johan (PH-Bangi) kemuka cadangan itu kerana program berkenaan tidak dilaksana tahun ini, serta tahap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak masih kurang memuaskan kerana faktor kos.
Menurutnya, ramai ibu bapa tidak menggunakan kerusi ‘Child Restraint System’ (CRS) meskipun diwajibkan sejak 2020.
“Kerusi CRS yang paling murah adalah sekitar RM200. Kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan program subsidi MyCRS bagi mendorong pemilikan dan penggunaan CRS dalam kalangan ibu bapa B40.
“Program tersebut menawarkan potongan harga sebanyak 50% atau maksimum RM150 bagi pembelian CRS,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan boleh menggunakan pendapatan tambahan melalui penjualan nombor pendaftaran istimewa bagi melaksanakan program MyCRS, di samping menggerakkan kempen besar-besaran untuk memberi kesedaran dan menggalakkan kerusi CRS.
Dalam pada itu, Syahredzan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pembelian CRS bagi menggalakkan penggunaan secara meluas.
MyCRS merupakan program insentif pembelian kerusi CRS untuk golongan B40 dan M40, bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan.
Menurut laman web Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), penerima yang disenarai layak boleh menebus insentif MyCRS dengan membuat pembelian CRS di mana-mana kedai bayi yang berdaftar.
Sebelum ini, Miros menyeru ibu bapa menggunakan CRS dalam kenderaan susulan kemalangan maut mengorbankan seorang bayi di Plaza Tol Bukit Kajang, baru-baru ini.
Menurut Miros, statistik polis dari 2014 hingga 2023 menunjukkan purata 434 kematian kanak-kanak direkodkan akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.
Kajian Miros pada 2022 mendapati hanya 30% ibu bapa menggunakan CRS ketika membawa anak kecil dalam kenderaan.
Susulan tragedi di Plaza Tol Bukit Kajang, pakar keselamatan jalan raya menggesa kerusi CRS wajib dipakejkan bersama pembelian kenderaan baharu.
Shahrim Tamrin menggesa syarikat pengeluar kereta tempatan, seperti Perodua dan Proton, menawarkan insentif dengan memasukkan pakej pembelian kereta sekali dengan CRS berjenama baik.