
Perunding Karen Goonting dan Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia memberitahu FMT denda mesti dikenakan bagi memastikan ibu bapa mematuhi peraturan itu.
Mereka juga mencadangkan pendidikan terbaik mengenai keselamatan jalan raya untuk kanak-kanak, dan pengeluar menjadikan harga CRS berpatutan, malah bebas cukai.
Goonting, yang juga bekas felo penyelidikan di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, berpendapat penggunaan CRS adalah kaedah paling berkesan untuk melindungi kanak-kanak ketika berada di jalan raya.
Dalam pada itu, beliau menolak pandangan mengatakan pengenaan denda akan menyukarkan hidup orang awam.
Sebaliknya kata beliau, peraturan itu dibuat “untuk menyelamatkan nyawa”.
“Apakah yang lebih penting, beberapa ratus ringgit atau nyawa anak anda?”
Selain itu katanya, adalah tidak masuk akal untuk terus melaksanakan peraturan tanpa menetapkan denda.
“Ia seperti harimau tanpa gigi. Kerajaan memberitahu rakyat untuk mengubah tingkah laku dan guna CRS, tetapi mereka tidak beritahu kenapa. ”
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan pendidikan, advokasi dan nasihat berhubung isu tersebut.
Bercakap di Dewan Rakyat beliau berkata, kenderaan pengangkutan awam hanya digalakkan untuk menyediakan kerusi kanak-kanak dan perbincangan mengenai penurunan harga CRS akan diadakan.
Goonting mahu kerusi kanak-kanak juga perlu disediakan oleh teksi dan kenderaan e-panggilan, tetapi berkata, ia juga bergantung pada kos.
“Satu-satunya cara untuk pengangkutan awam melaksanakannya adalah jika kos CRS diturunkan,” katanya.
Sementara itu, Law berkata, ketiadaan denda tidak menggalakkan orang ramai menggunakan CRS dalam kereta mereka.
Beliau memberi contoh tali pinggang keledar, dengan berkata, kurang 20% orang dewasa Malaysia mematuhi peraturan mengunakannya.
“Bila orang tahu tidak ada denda, mereka akan melupakannya.”
Beliau juga menyarankan agar ibu bapa dididik mengenai pelbagai jenis CRS yang tersedia pada harga berbeza, dan cara memasang kerusi itu dengan betul.
“Orang sering memberi alasan seperti tidak tahu di mana CRS yang bagus boleh dibeli atau tidak tahu menggunakannya.
“Pendidikan adalah kunci kerana kerusi kanak-kanak adalah cara terbaik untuk melindungi mereka,” katanya.