
“Sebagai menteri, apa sahaja yang kita lakukan pasti akan dikritik. Tidak mengapa, saya boleh bersabar. Kalau orang mahu kecam atau marah saya, saya boleh terima.
“Tetapi saya tetap dengan pendirian saya untuk mengingatkan semua tentang kepentingan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak kerana ia untuk keselamatan.
“Anda boleh kritik saya, anda boleh kecam saya, tetapi tolong jangan lupa, kalau ada anak kecil, pasang kerusi keselamatan demi keselamatan mereka,” katanya pada satu sidang media.
Loke menjawab kecaman terhadap kenyataan beliau berkait kematian seorang kanak-kanak berusia setahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu.
Kanak-kanak itu yang tidak berada dalam kerusi keselamatan tercampak keluar dari kenderaan dan tersepit di bawah sebuah kereta lain. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Lapan yang lain cedera dalam nahas membabitkan sebuah lori, dua SUV dan sebuah kereta itu.
Loke menegaskan beliau tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi kejadian itu seharusnya menjadi peringatan mengapa Kementerian Pengangkutan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Ramai orang mengeluh apabila kementerian mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Tetapi bila insiden seperti ini berlaku, ia menunjukkan betapa pentingnya kerusi keselamatan itu.