BUDI95, SARA cetus era ekonomi berasaskan identiti

BUDI95, SARA cetus era ekonomi berasaskan identiti

Ida Yasin dari Putra Business School berkata ekonomi berasaskan identiti mampu membantu menambah kecekapan penyaluran subsidi bahan bakar dan kekang pembaziran ketara.

SARA BANTUAN 100
Ahli ekonomi Ida Yasin berkata penggunaan MyKad juga bantu kerajaan memahami corak perbelanjaan rakyat dalam merangka dasar awam.
PETALING JAYA:
Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menunjukkan keazaman kerajaan beralih ekonomi berasaskan identiti yang mengoptimumkan perbelanjaan hasil dengan pemfokusan penerima bantuan, kata ahli akademik.

Bercakap kepada FMT, Ida Yasin dari Putra Business School berkata penggunaan Mykad di bawah dua program terbabit dilihat menambah kecekapan penyaluran bantuan dan subsidi berbilion ringgit kerana tiada lagi pembaziran ketara.

“Duit kerajaan tidak lagi dibazirkan kepada mereka yang tidak sepatutnya termasuk warga asing (beli RON95 pada harga RM1.99 mulai 30 Sept).

“MyKad bukan sekadar dokumen identiti tetapi sudah menjadi instrumen dasar ekonomi negara,” katanya yang turut menambah penggunaan kad pintar itu membantu menyediakan data analitik dalam memahami corak perbelanjaan rakyat.

“Melalui Program SARA, kerajaan dapat tahu berapa peratus bantuan dibelanjakan untuk beras, telur atau susu. Dengan data sebegini, dasar awam boleh digubal lebih responsif dan menepati keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Cabaran identiti digital

Bagaimanapun, beliau tidak menolak cabaran besar terhadap pelaksanaan program bantuan sosial ekonomi berasaskan identiti termasuk BUDI95 dan SARA adalah masih ada segelintir penerima tidak dapat menggunakannya.

“Walaupun kita guna identiti digital, ada juga mungkin tercicir. Contohnya warga emas tidak mampu bergerak ke kedai walaupun ada MyKad dengan nilai RM100 (SARA).

“Mereka perlukan orang lain untuk bantu dan keadaan ini wajar diambil kira,” katanya.

Ida turut meminta kerajaan meneliti perkara itu bagi memastikan program ini bebas daripada penyalahgunaan yang mungkin berlaku sekiranya ada pihak cuba membeli bahan bakar bersubsidi dan menjualnya semula.

“Cabaran masih menjurus kepada isu kad palsu atau pencurian identiti. Walaupun kes tidak banyak, ia tetap perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Sementara itu, Idham Razak dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata kejayaan program SARA sebagai medan ujian sebelum pelaksanaan BUDI95 memberi bukti empirikal bantuan bersasar melalui MyKad berkesan dalam mengenal pasti penerima dengan ketepatan tinggi.

“SARA telah membuktikan bahawa integrasi data silang antara agensi, penggunaan algoritma penilaian kelayakan dan pengesahan identiti digital mampu mengurangkan ralat manusia dan manipulasi sistem.

“Ini memberi landasan kukuh untuk menjadikannya model jangka panjang, bukan hanya untuk subsidi petrol, tetapi juga pelbagai bentuk bantuan sosial lain seperti bantuan tunai, pendidikan atau insentif kesihatan, menjadikan dasar sosial negara lebih inklusif, telus dan mampan dari segi fiskal,” katanya.

300 liter sebulan realistik

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula berkata tempoh pelaksanaan BUDI95 sejak diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu adalah wajar.

“Kerajaan mengambil lebih masa untuk memastikan ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa menimbulkan banyak masalah,” katanya merujuk tempoh hampir setahun untuk melaksanakannya.

Beliau turut menyifatkan kelayakan 300 liter subsidi RON95 sebulan bagi setiap warganegara berusia 16 tahun yang memiliki lesen memandu sah sebagai realistik.

“Ikut anggaran ia mencukupi untuk B40 dan M40 manakala bagi kelompok berpendapatan lebih tinggi yang mungkin mempunyai banyak kenderaan, lebih adil selepas menggunakan subsidi 300 liter mereka membayar harga pasaran.

“Selain itu, pemilik kereta mewah lebih cenderung guna RON97 sesuai dengan gaya hidupnya,” katanya sambil menyatakan kelompok berpendapatan tinggi juga wajar menikmati faedah dasar kerajaan kerana menjadi pembayar cukai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.