Kempen celik kewangan perlu guna bahasa mudah, intervensi sistematik

Kempen celik kewangan perlu guna bahasa mudah, intervensi sistematik

Pakar ekonomi juga menyeru celik kewangan diintegrasikan di sekolah, dan memanfaatkan platform digital.

ringgit rm100
Pakar ekonomi kata usaha mendidik rakyat mengenai kewangan tidak boleh bersifat bermusim, dan memerlukan komitmen berterusan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kempen celik kewangan perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah supaya semua lapisan masyarakat memahami istilah dan konsep kewangan, kata penganalisis ekonomi.

Pakar juga mencadangkan program celik kewangan diintegrasikan ke dalam kurikulum sekolah agar pengetahuan mengurus wang sampai kepada semua rakyat, selain memanfaatkan pelbagai bentuk wadah.

“Penggunaan platform digital dan media tempatan seperti radio komuniti, media sosial dalam loghat tempatan dan aplikasi mudah alih berbahasa Melayu santai boleh meningkatkan jangkauan dan keberkesanan mesej kewangan,” kata Mohamad Idham Md Razak, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara.

Idham mengulas kadar celik kewangan yang rendah di Kelantan, Terengganu, dan Sabah menurut kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kajian pada 2022 itu menunjukkan kadar celik kewangan rakyat Kelantan hanya 15%, diikuti Sabah (16%) dan Terengganu (17%), berbanding Kuala Lumpur yang merekodkan 41%.

Idham berkata merapatkan jurang celik kewangan dalam kalangan rakyat di luar bandar memerlukan intervensi sistematik dan berterusan.

“Tanpa intervensi sistematik dan berterusan, jurang celik kewangan ini akan terus menghalang rakyat di kawasan luar bandar daripada mencapai kesejahteraan persaraan dan ketahanan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Idham turut mencadangkan pihak berwajib memberikan insentif tingkah laku seperti ganjaran simpanan awal kepada golongan muda, bagi mendorong tabiat kewangan positif sejak awal.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata usaha mendidik rakyat mengenai kewangan tidak boleh bersifat bermusim, dan memerlukan komitmen berterusan daripada agensi kerajaan, majikan serta institusi kewangan.

“Golongan sasaran perlu meluas dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja. Program juga perlu mengikut keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh beritahu Dewan Negara bahawa Jabatan Belia dan Sukan Negara melaksanakan program khusus Literasi Kewangan Belia tahun ini di seluruh negara, dari April ke Oktober, susulan peningkatan trend kebankrapan dalam kalangan belia.

Menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew, Hannah berkata terdapat 877 kes pada 2024, berbanding 727 pada tahun sebelumnya, iaitu meningkat sebanyak 150 kes.

Dewan juga diberitahu 5,272 belia berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga tahun ini.

Katanya, punca utama kes kebankrapan pada 2024 melibatkan pinjaman peribadi, yang menyumbang sebanyak 2,776 kes atau 46.4% daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.