Pelajar mesti diajar cara elak ‘scam’, kata aktivis

Pelajar mesti diajar cara elak ‘scam’, kata aktivis

Ilmu celik pelaburan diharapkan dapat membantu pelajar mengelak penipuan kewangan dan skim cepat kaya.

Pelajar sekolah boleh diperkenalkan dengan konsep pelaburan, yang akan membiasakan mereka dengan pelbagai pilihan, kata seorang pensyarah universiti. (Gambar Unsplash)
PETALING JAYA:
Program celik pelaburan harus memberi tumpuan pada pelajar sekolah menengah supaya mereka boleh belajar cara mengelak penipuan kewangan dan skim cepat kaya, kata seorang aktivis pendidikan.

Noor Azimah Abdul Rahim, ketua Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata: “Golongan muda pada masa kini terdedah kepada pengaruh kononnya perunding kewangan atau penipu yang mempromosikan skim cepat kaya.

Skim ini merangkumi pelaburan dalam saham, mata wang, mata wang kripto dan komoditi tanpa lesen atau kawal selia yang betul, tambahnya.

Beliau menyokong seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini agar program celik pelaburan disampaikan kepada golongan muda dan kempen kesedaran diluaskan ke sekolah.

Pada Mei, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kebankrapan ialah masalah paling serius yang menjejaskan golongan belia hari ini, berpunca daripada hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan tabiat berbelanja sebelum memperoleh pendapatan.

Azimah berkata, penting bagi pelajar sekolah untuk tahu cara membezakan pelaburan yang sah dengan penipuan kewangan.

“Kita boleh memperkenalkan (ilmu) celik pelaburan kepada pelajar menengah atas, kerana pada peringkat itu, mereka mungkin lebih mampu membayangkan dan memahami konsep,” katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata, idea memperkenalkan konsep pelaburan kepada pelajar sekolah adalah suatu langkah positif ke arah memupuk celik kewangan yang lebih tinggi dalam kalangan golongan muda.

Katanya, murid sekolah rendah lazimnya didedahkan kepada penyimpanan wang menerusi kempen yang dianjurkan oleh bank.

“Oleh itu, pada peringkat menengah atas, kita boleh memperkenalkan konsep pelaburan, yang akan membiasakan mereka dengan pelbagai pilihan,” kata Anuar.

Beliau berkata, inisiatif seperti itu tidak perlu disepadukan dalam kurikulum sekolah.

“Ia boleh dicapai melalui kempen yang dianjurkan oleh bank atau aktiviti kokurikulum yang tertumpu pada celik kewangan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.