
Kelvin Goh, perancang kewangan bertauliah dengan Ringgit Minded, menggesa kerajaan mewajibkan pemberi pinjaman menyenaraikan kadar pinjaman efektif (ELR) ketika mengiklankan pinjaman untuk menggambarkan kos sebenar.
“Apabila semua bank diberi mandat mendedahkan kadar efektif, lebih mudah bagi pengguna membuat perbandingan bermakna dan seterusnya mewujudkan persekitaran pinjaman yang adil dan lebih kompetitif,” katanya kepada FMT.
Sebagai contoh, katanya, sesetengah peminjam salah faham pinjaman peribadi dengan kadar faedah 4% (kadar rata) lebih rendah daripada pembiayaan semula pinjaman rumah dengan kadar pinjaman 5% (kadar efektif).
“Penukaran daripada kadar rata 4% kepada kadar efektif kira-kira 7% mendedahkan pinjaman peribadi sebenarnya lebih mahal daripada pinjaman pembiayaan semula,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong untuk Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula tindakan bank serta syarikat e-dompet memudahkan akses bagi pinjaman peribadi.
Berdasarkan 49% kes muflis melibatkan pinjaman peribadi, Khoo berkata, kemungkinan besar bank dan penyedia e-dompet memasarkan pinjaman ini secara agresif sehingga merugikan orang ramai.
Goh berkata, kebankrapan sebahagiannya disebabkan cara bank meluluskan pinjaman, justeru BNM perlu menyeragamkan had pendedahan untuk pinjaman peribadi, dengan menetapkan pendapatan 12 hingga 24 bulan.
“Sebagai contoh, di Singapura, kerajaan mengehadkan jumlah seseorang boleh meminjam (dalam) pinjaman tidak bercagar kepada maksimum 12 kali ganda pendapatan bulanan mereka, tetapi kita tidak mempunyai sekatan itu sedemikian di Malaysia.”
Celik kewangan
Fazli Sabri dari Universiti Putra Malaysia berkata, kerajaan perlu meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan peminjam, justeru beliau menyarankan subjek khusus kewangan peribadi diperkenalkan dan diwajibkan di peringkat kolej serta universiti.
“Kami mahu memastikan semua orang memahami asasnya, seperti apa yang perlu anda pertimbangkan sebelum memohon pinjaman baharu dan apa yang perlu dilakukan jika anda menghadapi kesukaran (membayar balik pinjaman).
“Subjek ini juga akan merangkumi topik seperti insurans, aliran pengurusan risiko kredit, wasiat dan zakat.”