
Pengarah KWSP Wilayah Timur Rahmat Ali berkata, kajian pada 2022 itu mengambil kira beberapa faktor, termasuk kurang pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan simpanan.
Beliau berkata, hasil kajian menunjukkan kadar celik kewangan rakyat Kelantan hanya 15%, diikuti Sabah (16%) dan Terengganu (17%), berbanding Kuala Lumpur yang merekodkan 41%.
“Mungkin mereka mempunyai simpanan sendiri tetapi tempat simpanan tidak produktif seperti di rumah atau di bank, yang tidak memberi pulangan tinggi.
“Jika celik kewangan mereka lebih baik, sepatutnya mereka tahu memilih instrumen simpanan yang memberikan pulangan lebih tinggi, contohnya KWSP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tadbir Urus Media Negeri dan Pihak Bekepentingan hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai caruman formal melalui potongan majikan.
“Antara kemudahan ditawarkan ialah i-Saraan dan i-Suri. Menerusi i-Saraan, kerajaan memberi insentif RM500 setahun selama 10 tahun jika pencarum menyimpan RM2,500 setahun.
“Caruman ini bukan sahaja membolehkan mereka menikmati insentif dan dividen tetapi juga pelbagai manfaat lain seperti pengeluaran untuk pembelian rumah, pendidikan, serta perlindungan jika berlaku hilang upaya atau kematian,” katanya.
Setakat ini, KWSP merekodkan 18,385 pencarum i-Saraan manakala 431 individu mendaftar di bawah i-Suri, katanya, sambil menyeru lebih ramai masyarakat mengambil peluang tersebut sebagai pelaburan masa depan.