
Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-27, yang sebilik dengan Zara di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada hari ke-31 prosiding inkues kematian remaja berkenaan.
Berkongsi keterangan saksi, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara, berkata saksi memberitahu, ketika berada di biliknya di A3-5, dia mendengar suara dari bilik sebelah yang menyuruh Zara Qairina datang ke bilik A3-6, pada malam 15 Julai.
“Kemudian, saksi baru tahu Zara Qairina disyaki mencuri kad bank seorang pelajar dan telah dipanggil berjumpa dengan senior Tingkatan Empat di bilik asrama bersebelahan. Saksi tidak tahu siapa senior Tingkatan Empat yang Zara Qairina jumpa pada malam itu di bilik A3-6.
“Semasa Zara Qairina masuk ke bilik A3-5 sekitar 11 malam, saksi melihatnya seperti dalam gangguan emosi, baring di lantai sambil menangis di depan almarinya,” katanya menurut Bernama.
Joan berkata, itu merupakan kali pertama saksi melihat Zara berada dalam keadaan sedemikian, malah sebelum ini pelajar Tingkatan Satu itu tidak pernah mengadu sebarang masalah peribadi, tekanan belajar atau gangguan pelajar lain.
Beliau berkata, saksi sering melihat Zara menulis di dalam diari berwarna ungu dan hijau miliknya, termasuklah mengenai keinginan untuk menjadi anggota Badar (pengawas surau) di sekolah berkenaan.
“Saksi tidak mempunyai apa-apa konflik dengan Zara Qairina, beliau merupakan seorang daripada pelajar yang periksa lokar Zara Qairina, dan beliau terjumpa pin itu (pin bendera yang dilaporkan hilang),” katanya.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung 5 Nov.