Polis terima 4 laporan emel peras ugut YB

Polis terima 4 laporan emel peras ugut YB

Polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba ganggu-gugat keselamatan, ketenteraman awam, serta keharmonian.

Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, berkata polis terima laporan daripada empat wakil rakyat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan menerima empat laporan berhubung e-mel peras ugut wakil rakyat, yang mengugut akan sebar video berunsur lucah jika permintaan tidak dipatuhi.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata polis menerima laporan daripada Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Senator Nelson Angang, Adun Kulim Wong Chia Zhen, dan Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari.

Dalam kejadian menimpa Wong Chen, pemeras berkenaan mahu wakil rakyat penuhi tuntutannya dalam tempoh tiga hari.

Pengarah JSJ M Kumar memaklumkan polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memperoleh maklumat dan mengesan pemilik e-mel.

Kes disiasat bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan memeras ugut dengan niat untuk mendapat sesuatu secara paksa melalui ancaman; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Polis memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terbabit dalam menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan diambil tindakan undang-undang secara tegas, menyeluruh, dan tanpa kompromi.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman awam, serta keharmonian negara,” menurut kenyataan.

Media melaporkan kira-kira 11 wakil rakyat menerima e-mel peras ugut, termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin.

Turut menjadi sasaran Exco Selangor Najwan Halimi dan Fahmi Ngah; Senator Manolan Mohamad, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, dan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Semalam, Rafizi yang pertama sekali mendedahkan pemerasan ini berkata e-mel diterimanya mengandungi kod QR, dan percaya ia percubaan untuk menggodam peranti.

Beliau menerangkan e-mel diterimanya memeras ugut USD100,000 untuk tidak sebar suatu ‘video lucah’, didakwa memaparkan penerima dengan seorang lelaki. Ia turut melampirkan tangkap layar meletakkan muka penerima pada suatu video kabur.

Wan Saiful hari ini mengesahkan emelnya juga mengandungi kod QR, dan percaya wakil rakyat lain tidak sedar e-mel sedemikian dihantar kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.