
Suspek dipercayai menyamar sebagai juruteknik dengan memakai pakaian keselamatan sebelum masuk ke kawasan pencawang menggunakan kunci pendua.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Baderulhisham Baharudin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian curi kabel pencawang di Kampung Lubok Peringgi pd 24 Ogos lalu.
Katanya, siasatan mendapati sebanyak empat batang kabel jenis RRU Power Cable sepanjang 12 meter dipotong serta hilang.
“Susulan laporan itu, polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk juruteknik pencawang, pemilik premis barang lusuh serta penganggur.
“Kesemua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu. Kabel yang dipotong itu akan digulung dan dibakar sebelum dijual kepada premis barang lusuh dengan harga antara RM25 hingga RM36 sekilogram,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata penahanan dan operasi yang dilakukan berjaya menyelesaikan 31 kes antaranya 15 kes di Kota Setar; empat di Kubang Pasu; enam kes di Yan dan empat kes di Padang Terap.
“Kejadian itu turut terkesan di negeri Perlis yang membabitkan dua kes di Arau dan Padang Besar.
“Anggaran kerugian dialami syarikat terbabit mencecah lebih RM50,000 manakala nilai rampasan dianggarkan sekitar RM15,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/431A Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 18 kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Kedah, 11 lagi masih dilengkapkan.
“Setakat ini satu kertas siasatan diarahkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.