
Fong berkata insiden minggu lalu itu menimbulkan kebimbangan serius tentang layanan terhadap sukarelawan komuniti yang menjalankan tugas rasmi mereka.
“Ini tidak munasabah. Pihak berkuasa lebih tinggi perlu menyiasat pegawai terbabit. Mangsa yang membuat laporan dilayan seperti penjenayah.
“Pihak berkuasa juga perlu menjelaskan kepada orang ramai sama ada keputusan untuk menahannya selama tiga hari dua malam itu wajar,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Fong, pada 28 Dis lalu, wakil majlis itu menemui kabel yang terdedah di hadapan sebuah hotel di Jalan Ceylon, Kuala Lumpur, dan memaklumkan perkara itu kepada pengerusi subzon majlis perwakilan penduduknya.
Bertindak atas arahan, wakil itu mula mengambil gambar kabel berkenaan untuk diserahkan kepada pihak berkuasa bagi tujuan pengesahan.
Semasa melakukannya, kakitangan hotel menghampirinya dan memberitahu bahawa laporan polis mengenai kabel itu telah dibuat.
Fong berkata polis dari Balai Dang Wangi kemudian pergi ke rumah wakil itu pada 2 Jan dan menahannya bagi membantu siasatan.
Namun, wakil berkenaan ditahan reman selama tiga hari sebelum dibebaskan semalam, dengan polis didakwa menyifatkan penahanannya sebagai salah faham.
Ahli Parlimen itu menegaskan wakil majlis perwakilan penduduk adalah sukarelawan komuniti yang dilantik persekutuan untuk membantu masyarakat dan melaporkan isu di lapangan – peranan yang gagal diiktiraf polis dalam kes ini.
“Apabila sukarelawan komuniti yang melaporkan kesalahan disyaki dilayan seperti suspek, ia akan menghalang kerjasama dan melemahkan kepercayaan orang ramai,” katanya.
Fong turut menuntut penjelasan mengenai penahanan itu dan semakan dalaman terhadap prosedur yang digunakan semasa siasatan.
Beliau juga menekankan perlunya prosedur operasi standard yang jelas bagi mengendalikan kes yang melibatkan wakil majlis perwakilan penduduk dan sukarelawan komuniti, serta jaminan bahawa mereka tidak akan ditahan semasa menjalankan tugas komuniti.
FMT telah menghubungi IPD Dang Wangi.