
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah bagaimanapun berkata, pihaknya masih menyiasat secara terperinci bagi mengenal pasti motif utama kejadian.
Menurutnya, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang ibu tunggal, manakala suspek berusia 32 tahun ialah seorang duda, dan mereka saling mengenali lebih setahun kerana bekerja dalam bidang hartanah.
Dalam kejadian di depan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah malam tadi, mangsa cedera di bahagian leher dipercayai ditikam menggunakan objek tajam.
Adzli berkata, polis pada mulanya menerima panggilan memaklumkan kejadian pergaduhan di depan restoran tersebut pada 9.24 malam tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku dengan pantas kerana mereka baru sampai di restoran berkenaan dan kedua-duanya belum turun dari kereta.
“Beberapa minit kemudian, suspek keluar dari kereta milik mangsa dan terus melarikan diri ke kawasan bendang berhampiran,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, hari ini, lapor Bernama.
Adzli berkata, tindakan pantas mangsa menekan hon kereta berjaya menarik perhatian orang ramai yang berada di restoran itu dan dia diberi rawatan awal bagi menghentikan pendarahan.
Tambahnya, tikaman dipercayai menembusi leher mangsa dari sebelah kiri hingga kanan, manakala senjata tajam yang digunakan dipercayai sama ada pemecah ais, pemutar skru atau pisau Rambo.
Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Menurut Adzli, suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah ibadat di Taman Uda, kira-kira 6km dari dari lokasi kejadian.
Siasatan polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada teman wanitanya beberapa tahun lepas.
“Hasil saringan urin mendapati suspek negatif terhadap sebarang bahan terlarang dan dia direman selama tujuh hari hingga 24 Mei bagi membantu siasatan,” kata Adzli menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.