Kerugian hampir RM3 juta dicatat akibat kecurian kabel ECRL, komponen lain

Kerugian hampir RM3 juta dicatat akibat kecurian kabel ECRL, komponen lain

Sehingga 38 kes direkodkan, terutamanya di Terengganu dan Pahang, sejak Januari hingga September, menurut MRL.

Kemajuan projek ECRL secara keseluruhan mencapai 88.08%, manakala di Terengganu sehingga 93.55%, menurut CEO Malaysia Rail Sdn Bhd Darwis Abdul Razak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 38 kes kecurian kabel penghubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan beberapa komponen lain, melibatkan jumlah kerugian RM2.9 juta, direkodkan di sepanjang jajaran pembinaan terutama di Terengganu dan Pahang sejak Januari hingga bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Rail Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak berkata, antara langkah keselamatan diambil oleh pihaknya dengan kerjasama polis termasuk pemasangan 116 kamera litar tertutup (CCTV) serta penugasan 67 pengawal keselamatan.

Katanya, usaha itu bagi memantau dan menyelia kawasan yang dikenal pasti sering berlakunya kejadian kecurian.

“Setakat ini apa yang kita rekodkan di negeri Terengganu ada …Pahang pun ada. Jadi, ia tidak tertumpu pada satu tempat. Kita menerima kerjasama baik daripada semua negeri terlibat untuk kita buat keterlibatan lebih kerap.

“Ini satu usaha berterusan dan kita mahu semua pihak mengambil serius, kerana masalah itu boleh menjejaskan pembukaan (operasi ECRL) sekiranya berterusan,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Darwis memaklumkan, kemajuan projek ECRL secara keseluruhan mencapai 88.08%, manakala di Terengganu sehingga 93.55%.

“ni memberikan mesej bahawa kita berada pada landasan yang baik dan tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.