Pemuda PAS rancang himpunan bantah RUU PSB 4 Okt

Pemuda PAS rancang himpunan bantah RUU PSB 4 Okt

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata ia juga sebagai solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata himpunan itu diadakan sehari sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat, tanda parti itu tegas menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar.
ALOR SETAR:
Pemuda PAS merancang himpunan 4 Okt ini bagi membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata himpunan itu juga diadakan sebagai solidariti terhadap nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang mencetuskan kekecohan, semalam.

Katanya, himpunan itu diadakan sebelum berlangsungnya sidang Dewan Rakyat, sebagai mesej jelas PAS menolak RUU PSB serta tindakan pengosongan.

“Kerajaan perpaduan hari ini sedang berdepan perpecahan, dalam isu Akta PSB misalnya, ada tujuh Ahli PKR yang menolak usul tersebut. Semua ini menggambarkan bagaimana tidak stabilnya kerajaan Madani,” katanya.

Afnan berkata demikian semasa ucapan penggulungan Muktamar Pemuda PAS kali ke-66, di Kompleks PAS Kedah.

Sebelum ini, himpunan membantah PSB mahu diadakan pada Jun, namun ditangguhkan susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat. Himpunan itu sekali lagi tertangguh dan diganti dengan Himpunan Turun Anwar di ibu negara.

Sementara itu, Afnan ketika ditemui media mengulas usul Pemuda PAS yang mahu parti itu memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menerajui kepimpinan utama negara dibuat berdasarkan jumlah kerusi dimenangi PAS.

Namun, katanya perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat konsensus bersama rakan gabungan lain seperti Bersatu, Gerakan, dan MIPP.

“Cadangan pemimpin masing-masing, jadi sebab kerusi kita banyak, kita cadang kitalah ‘lead’ (memimpin PN), kalau orang lain kerusi mereka banyak, mereka akan cadang mereka ‘lead’, itu biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.