Pemuda mahu PAS ambil alih kemudi PN

Pemuda mahu PAS ambil alih kemudi PN

Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden kata 'kawan' yang tidak mampu kawal 'anak buah' adalah lemah.

Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden kata PAS layak mengetuai PN susulan perkembangan di Perlis.
PETALING JAYA:
Pemuda PAS menyeru PAS mengambil alih kemudi Perikatan Nasional, selepas Bersatu tidak bertindak terhadap lima Adun yang menarik balik sokongan kepada bekas menteri besar Perlis, Shukri Ramli.

Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata Bersatu sehingga kini tidak bertindak terhadap wakil rakyat mereka itu, meskipun parti itu mengatakan tiada arahan untuk menandatangani akuan berkanun.

“Bahkan, dihantar pula nama untuk jadi menteri besar,” katanya di Facebook.

“Tak bagi arahan. Tapi tak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud merestui tindakan.”

Afnan berkata PAS layak mengetuai PN susulan perkembangan di Perlis itu, dengan Presiden Hadi Awang menjadi pengerusi.

“Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat,” katanya.

Tidak lama selepas Adun Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai menteri besar Perlis, semalam, Afnan menyuarakan kekecewaan selepas semangat setiakawan tidak dihargai ‘kawan’.

Beberapa pemimpin PAS turut memberi pelbagai reaksi di media sosial susulan pelantikan menteri besar Perlis itu termasuk ada menganggapnya sebagai satu bentuk ‘pengkhianatan’ dan ‘kawan makan kawan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.