
Bahkan, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata pendirian sedemikian patut dinyatakan ketika pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung PN, yang diumumkan pada 10 Dis tahun lalu.
Ketika itu, sebelum nama Azmin diumumkan, Pemuda PAS mencadangkan setiausaha agung parti mereka, Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai setiausaha agung, menggantikan Hamzah Zainudin, yang juga daripada Bersatu.
“Saya setuju setiap keputusan dibuat secara konsensus. Sepatutnya dulu semasa lantik jawatan termasuk setiausaha agung PN lagi keluar pendirian macam ini,” kata Afnan kepada FMT.
Susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham, Ketua Pemuda Gerakan Lee Boon Shian, dan Ketua Pemuda MIPP Justin Prabakaran berkata semua keputusan atas nama PN mesti diputuskan dalam majlis tertinggi gabungan.
Kata mereka dalam kenyataan bersama, sebarang keputusan atau pendirian atas nama PN bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Azmin turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha agung PN, bermula tarikh sama.