‘Minta dihormati, kenalah hormat dulu’, Afnan bidas rakan komponen PN

‘Minta dihormati, kenalah hormat dulu’, Afnan bidas rakan komponen PN

Ketua Pemuda PAS berkata, gesaan agar ketetapan komponen PN dihormati hanya timbul setelah pihak terbabit sendiri 'terkena'.

Afnan Hamimi holds a Press Conference "Youth Reject URA"
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sekiranya rakan komponen PN ingin ‘dihormati’, mereka turut perlu tunjuk hormat.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyelar pihak tertentu yang menggesa agar partinya menghormati ketetapan komponen Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan pengerusi baharu, dengan berkata, semua pihak harus saling menghormati.

Walaupun pemimpin PAS itu tidak menyebut secara langsung pihak yang dimaksudkannya, namun kenyataan itu dipercayai merujuk gesaan oleh Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham yang sebelum ini meminta semua pihak memberi ruang kepada parti komponen membuat ketetapan berhubung perkara tersebut.

“Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu sebagai calon tunggal untuk jadi perdana menteri, ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan?” soal Afnan menerusi hantaran di Facebook.

“Masa orang parti kamu sign SD (akuan berkanun) di Perlis baru-baru ni, menjatuhkan menteri besar dari parti rakan, mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian dan ketetapan parti rakan?”

Afnan berkata, gesaan tersebut hanya timbul setelah pihak terbabit sendiri ‘terkena’.

“Kena pada kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena pada diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu?

“Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Senang sahaja,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Terdahulu, FMT melaporkan Hilman berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akan diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu, yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, namun proses dalaman setiap parti perlu dihormati.

Katanya, semua parti komponen perlu diberikan ruang sebagai menjawab seruan Presiden PAS Hadi Awang supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN.

Hadi sebelum itu menyeru agar mesyuarat tergempar MT PN diadakan segera untuk membincangkan peletakan jawatan Muhyiddin, serta pelantikan baharu pengganti beliau bagi tujuan kelangsungan pentadbiran gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.