SPRM sahkan tiada siasatan aktif terhadap pemangku pengerusi HDC

SPRM sahkan tiada siasatan aktif terhadap pemangku pengerusi HDC

SPRM membuat penjelasan selepas keberadaan Azhari Shari dalam Lembaga Pengarah HDC dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut SPRM, setiap tapisan keutuhan yang dijalankan adalah bertujuan sebagai panduan kepada pihak pemohon dan tidak bersifat mengikat.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail yang dibuka terhadap Pemangku Pengerusi Halal Development Corp (HDC) Azhari Shari.

Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, berkata ia berdasarkan semakan yang dilakukan pihaknya pada tarikh permohonan semakan tapisan keutuhan terhadap Azhari yang dikemukakan oleh HDC pada Oktober tahun lalu.

“Berdasarkan semakan yang dijalankan oleh SPRM pada 30 Oktober 2024, didapati bahawa pada tarikh permohonan tersebut, tiada sebarang rekod siasatan aktif atau fail terbuka ke atas penama.

“Maklum balas rasmi telah dikemukakan kepada HDC pada 4 November 2024, memaklumkan secara faktanya bahawa tiada siasatan aktif sedang dijalankan oleh SPRM terhadap penama ketika itu,” katanya dalam kenyataan.

Penjelasan itu dibuat selepas keberadaan Azhari dalam Lembaga Pengarah HDC dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, merujuk pengakuan bersalah Azhari dalam satu kes jenayah rasuah.

Mengulas lanjut, SPRM berkata Azhari pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Oktober 2023.

Ia juga berkata rekod sabitan kes Azhari masih wujud dalam Pangkalan Data Pesalah SPRM.

“Setiap tapisan keutuhan yang dijalankan adalah bertujuan sebagai panduan kepada pihak pemohon dan tidak bersifat mengikat.

“Kita juga ingin menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan proses semakan keutuhan yang dijalankan secara profesional dan berintegriti.

“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan yang dijalankan, selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.