Kumpulan pelajar UM kesal, dakwa polis sekat forum antirasuah

Kumpulan pelajar UM kesal, dakwa polis sekat forum antirasuah

Umany dakwa acara itu diganggu pihak polis, sekali gus mengekang hak pelajar untuk berhimpun dan perjuang kebebasan akademik.

umany forum
Umany berkata, forum sepatutnya diadakan di hadapan Dewan Tunku Canselor, namun mereka diganggu hampir 30 anggota polis ketika menuju ke lokasi. (Gambar Umany)
PETALING JAYA:
Sekumpulan pelajar Universiti Malaya mendakwa polis menghalang sebuah forum berkaitan integriti dan rasuah anjuran beberapa badan pelajar UM daripada berlangsung malam ini.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) berkata, forum itu sepatutnya diadakan di hadapan Dewan Tunku Canselor, namun mereka diganggu hampir 30 anggota polis ketika menuju ke lokasi.

Menurut Umany, ketika pelajar cuba meneruskan forum di lokasi berkenaan, dua kenderaan polis menyalakan lampu ke arah kumpulan tersebut, dipercayai bagi mengganggu ucapan yang sedang berlangsung.

FMT telah cuba mendapatkan reaksi daripada pihak polis dan UM berhubung perkara itu.

“Tindakan ini mewujudkan suasana intimidasi serta mengekang hak pelajar untuk berhimpun dan memperjuangkan kebebasan akademik,” menurut Umany dalam kenyataan.

“Umany menegaskan bahawa hak untuk berhimpun merupakan kebebasan sivil yang asas. Pihak berkuasa tiada hak mahupun alasan untuk menyekat kebebasan ini, dan tidak sepatutnya menindas kebebasan akademik pelajar di kampus.”

Forum itu dijadual bermula pada 8.30 malam di luar Dewan Tunku Canselor, dan difahamkan akan menyentuh dakwaan pemilikan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, selain topik-topik lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.