‘Sekarang musim bersuara’: Rafizi hadir himpunan ‘Tangkap Azam’ Sabtu ini

‘Sekarang musim bersuara’: Rafizi hadir himpunan ‘Tangkap Azam’ Sabtu ini

Bekas timbalan presiden PKR itu akan buat kemunculan kedua dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki.

rafizi ramli
Rafizi Ramli berucap di perhimpunan Tangkap Azam Baki di pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur pada 15 Feb lalu.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli akan menghadiri perhimpunan menggesa Azam Baki disiasat pada petang Sabtu.

“Musim raya sudah habis, sekarang musim bersuara,” kata bekas menteri ekonomi itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sekretariat #TangkapAzamBaki akan mengadakan protes kedua di Dataran Merdeka pada Sabtu ini bagi mendesak ‘siasatan penuh’ terhadap dakwaan berkaitan pegangan saham ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Ia juga mendesak siasatan menyeluruh terhadap dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi penguatkuasaan.

Pada 15 Feb lalu, lebih 150 penunjuk perasaan berarak dari pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur ke Dataran Merdeka bagi menuntut peletakan jawatan Azam susulan laporan Bloomberg bahawa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd.

Rafizi, yang turut menghadiri perhimpunan itu memberi amaran, kerajaan akan berdepan lebih banyak protes jika tiada tindakan diambil terhadap Azam berhubung kontroversi terbaharu pegangan sahamnya.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.

Bagaimanapun jelasnya, beliau sudah mengisytiharkan urus niaga tersebut dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu.

Peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.