Sindiket palsu dokumen pekerja asing, manipulasi sistem imigresen dibongkar

Sindiket palsu dokumen pekerja asing, manipulasi sistem imigresen dibongkar

Sindiket dipercayai beroperasi secara terancang selama hampir dua tahun, menurut Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban.

Zakaria Shaaban
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, serbuan di dua premis kediaman di Selayang dan Desa Petaling itu bongkar taktik licik sindiket. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu lagi kegiatan pemalsuan data dan dokumen pekerja asing menerusi pelaksanaan Op Serkap, hasil risikan serta pemantauan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, serbuan di dua premis kediaman di Selayang dan Desa Petaling itu membongkar taktik licik sindiket yang cuba memanipulasi sistem imigresen serta mencabar integriti pengurusan warga asing negara.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini melibatkan pengubahsuaian ke atas dokumen tulen JIM seperti ePASS dan mengeluarkan pelekat palsu untuk digunakan oleh pihak lain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata, sindiket itu juga menyediakan dokumen pendaftaran perkahwinan dan laporan perubatan bagi tujuan permohonan melibatkan JIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Sindiket ini dipercayai beroperasi secara terancang selama hampir dua tahun bagi memudahkan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini,” katanya.

Zakaria berkata, antara barangan dirampas dalam serbuan itu termasuk 11 pasport pelbagai negara, i-Kad (15), masing-masing lima peranti digital dan telefon bimbit serta sebuah mesin pencetak.

Seorang wanita dan dua lelaki warga Sri Lanka berusia 35 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan selain satu saman kepada saksi dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

Zakaria berkata, individu ditahan ditempatkan di depot imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.