
Sumber berkata, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan antara jam 3 dan 5 petang tadi dalam operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sekitar Lembah Klang.
Katanya, seorang lagi suspek berusia lingkungan 50-an ditahan jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati semua suspek yang juga dua daripadanya pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.
“Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO tersebut memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga peribadi,” katanya.
Sumber berkata, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan.
Katanya, dalam operasi itu SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes-Benz, rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
“Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
Katanya, semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk permohonan reman.