‘Itu palsu’, SPR nafi PRN Sabah 4 Nov

‘Itu palsu’, SPR nafi PRN Sabah 4 Nov

Setiausaha SPR Khairul Shahril Idris berkata tarikh penting PRN Sabah hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi pihaknya.

palsu prn sabah
SPR menafikan penularan tarikh penting dalam satu poster ditularkan di media sosial.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan penularan tarikh penting PRN Sabah ke-17 termasuk pengundian pada 4 Nov ini di media sosial.

Setiausaha Khairul Shahril Idris berkata, tiada pengumuman rasmi dibuat SPR berkenaan pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh penting bagi PRN itu.

Katanya, tarikh penting seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon dan pengundian hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.

“SPR menyeru orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat tidak sahih,” katanya dalam kenyataan.

Selain tarikh pengundian, poster itu turut mendakwa DUN Sabah akan dibubarkan pada 19 Sept dengan penamaan calon ditetapkan 21 Okt manakala undi awal 10 hari kemudian.

Tempoh penggal semasa DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov jika tidak dibubarkan lebih awal. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.