
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata bedah siasat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya enam tahun dilakukan pada 5 Sept di Hospital Port Dickson.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan 15 keterangan saksi diambil termasuk bekas isteri kepada bapa dua beradik itu, yang merupakan ibu kanak-kanak tersebut serta beberapa individu di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
“Status pengislaman kanak-kanak tersebut masih dalam siasatan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Siasatan memerlukan sedikit masa lagi untuk dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan.
Alzafny berkata, dua suspek iaitu lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan wanita berumur 41 tahun masih direman hingga 11 Sept bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan menyeluruh dan telus sedang dilakukan dengan mengambil kira keterangan saksi, bukti forensik dan elemen lain sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai itu pada 11.45 pagi, 4 Sept dengan dua kanak-kanak yang beralamat di Shah Alam, Selangor, berada dalam kenderaan tersebut.
JHEAINS pula memaklumkan menjalankan semakan bagi menentukan status agama dua kanak-kanak itu selepas menerima permohonan daripada polis untuk berbuat demikian.