
SKMM dalam kenyataan berkata hantaran terbabit mendakwa kononnya tindakan wanita itu dilakukan oleh individu berbangsa Cina, adalah tidak benar.
“Hantaran tersebut berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
SKMM berkata rakaman keterangan dilakukan semalam, di tiga lokasi berbeza iaitu di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan; dan IPD Timur Laut, Pulau Pinang.
“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga kad SIM dan satu kad memori turut disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata SKMM.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.
Wanita berusia 41 tahun itu cuba mendekati Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang pada acara tersebut, sebelum ditahan oleh pasukan keselamatan.
Menurut polis, wanita itu memiliki rekod lampau berhubung kes dadah, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.
Wanita itu juga mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.