Lelaki bunuh jiran dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Lelaki bunuh jiran dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Dis 2022.

mahkamah klang
Tertuduh S Panirselvam didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Klang atas pertuduhan membunuh.
KLANG:
Bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh jirannya, empat tahun lalu.

Hakim Norliza Othman turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap S Panirselvam, 42, kerana mencederakan seorang lagi jiran wanitanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 Dis 2022.

Bagi pertuduhan pertama, Panirselvam didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Abdullah, 52, di hadapan sebuah rumah di Jalan Tepi Sungai, di sini antara 10.30 pagi hingga 11 pagi, 13 Dis 2022.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ng Hui Can, 46, dengan parang yang mungkin menyebabkan kematian di lokasi dan waktu yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati kerana perbuatan membunuh satu kesalahan yang amat serius.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mahkamah boleh lihat bagaimana sendiri si mati dan mangsa ditetak berulang kali oleh OKT (orang kena tuduh) menggunakan parang sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa maut kepada si mati dan juga kecederaan parah kepada mangsa.

“Walaupun si mati ketika itu sudah tidak berdaya untuk menyelamatkan dirinya, OKT masih lagi menetak si mati menggunakan parangnya dan kejadian ini menjadikan perbuatan OKT lebih serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Peguam Zamri Ibrahim yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan hukuman kerana anak guamnya menyesali perbuatan yang melampaui batas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.