
Ketuanya Faezuddin Puad berkata susunan awal seperti itu adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik termasuk Umno sendiri untuk menentukan strategi pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga ketua PKR Pulai menjelaskan dengan strategi yang betul sesebuah parti dapat menang, menubuhkan kerajaan stabil dan bekerja menyelesaikan masalah rakyat melalui dasar serta program berkesan.
“Niat PKR Johor murni. Dengan tetapkan sasaran awal, boleh runding dengan rakan-rakan dan selesai lebih awal sebagai persediaan mewujudkan suasana politik yang stabil.
“Apabila stabil akhirnya rakyat juga yang akan dapat manfaat jangka panjang.
“Melainkan ada pihak mengaku berkawan tetapi enggan berunding, berkongsi dan cenderung membolot hampir semua kerusi atau jawatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kritikan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros yang menyifatkan pimpinan PKR dan Amanah negeri itu sebagai gelojoh serta terburu-buru dalam menentukan kerusi hendak ditandingi dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, pimpinan PKR dan Amanah negeri itu sepatutnya memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah rakyat.
Kenyataan Noor Azlen itu menyusul selepas PKR Johor menyasarkan untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen pada PRU akan datang, termasuk kerusi Muar yang kini disandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa dipetik berkata barisan kepimpinan baharu negeri itu mahu merampas semula kerusi Parlimen Muar, Pagoh dan Mersing.
Sebelum ini, Amanah Johor Amanah turut menyatakan hasrat bertanding 12 hingga 20 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, berikutan tiada rundingan jelas antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PKR Johor Jalex Lee pula berpandangan parti itu sesuai bertanding di Muar memandangkan demografi campuran iaitu lebih 60% pengundi Melayu dan sekitar 30% pengundi bukan Melayu.
“Muar kerusi yang secara tradisinya telah diamanahkan kepada PKR untuk ditandingi. Sejak penubuhannya, PKR secara konsisten memperjuangkan ideologi berbilang kaum, menjadikan parti ini pilihan untuk mengoptimumkan peluang untuk menang.
“Atas sebab itu, PKR yakin kerusi Parlimen Muar adalah milik Pakatan Harapan, dan PKR calon paling sesuai untuk bertanding,” katanya.
Menurutnya, dengan rekod pencapaian terbukti serta asas perjuangan majmuk kukuh, PKR berpeluang membantu PH untuk merampas kembali Muar pada PRU-16.