Tubuh kementerian warga emas tangani negara menua, pakar berbeza pendapat

Tubuh kementerian warga emas tangani negara menua, pakar berbeza pendapat

Penyelidik bebas dasar sosial, Edwin Goh khuatir ia hanya wujudkan pertindihan kuasa dan menambah kerenah birokrasi serta bazirkan perbelanjaan.

orang tua warga emas old people
Jabatan Perangkaan berkata Malaysia kini sudah masuk ke status negara menua apabila 7% daripada populasi penduduk berumur 65 tahun ke atas pada 2020. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua pakar berbeza pendapat berhubung cadangan menubuhkan kementerian khusus untuk warga emas yang bertujuan melindungi golongan itu, memandangkan Malaysia kini berada di status negara menua.

Penyelidik bebas dasar sosial Edwin Goh berkata, langkah tersebut hanya mewujudkan pertindihan bidang kuasa dengan beberapa kementerian sedia ada malah turut membazirkan perbelanjaan tanpa menyelesaikan isu struktur yang lebih mendalam.

Sambil menyifatkan cadangan penubuhan kementerian warga emas sebagai tidak praktikal, Goh khuatir ia hanya menambah kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan.

“Fokus kita seharusnya pada koordinasi strategik dan tindakan kolektif, bukan mewujudkan sebuah lagi kementerian. Lebih berkesan menubuhkan majlis penjagaan negara sebagai badan penyelaras peringkat tertinggi untuk menyelaraskan dasar dan mengurangkan birokrasi.

“Pada masa sama, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) sedia ada wajar diperkasakan menjadi sebuah laporan antara generasi yang komprehensif untuk merangka hala tuju negara dalam jangka masa panjang,” katanya kepada FMT.

Naib Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) Dr Wong Teck Wee pula berpendapat kerajaan perlu menubuhkan sebuah kementerian berkaitan warga emas yang bebas, memandangkan tanggungjawab pelbagai aspek untuk golongan itu kini ‘tersebar’ di pelbagai peringkat kementerian.

“Isu penuaan bukan hanya tentang penjagaan kesihatan atau kebajikan, tetapi juga melibatkan soal pencen, simpanan, peluang pekerjaan, perumahan dan reka bentuk bandar, pengangkutan awam, inklusi digital, dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang.

“Kini, tanggungjawab itu tersebar di pelbagai kementerian. Sebuah badan pusat akan mengurangkan fragmentasi, menyelaraskan usaha dan memastikan koordinasi yang lebih baik,” katanya.

Menurut Wong, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang kini menguruskan hal ehwal kebajikan warga emas juga dilihat sukar memberi tumpuan yang mencukupi kepada cabaran unik dan kompleks yang datang bersama isu penuaan.

“Tanggungjawab kementerian ini terlalu luas kerana merangkumi perlindungan kanak-kanak hingga isu gender,” katanya.

Tambahnya, penubuhan kementerian khusus perlu untuk memastikan NAB dilaksanakan secara berkesan, memantau kemajuannya serta memperuntukkan sumber yang mencukupi.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa pada 2020, 7% daripada populasi penduduk di Malaysia berumur 65 tahun ke atas, menandakan status negara menua. Peratusan ini dijangka meningkat kepada 14% menjelang 2044, menjadikan Malaysia sebuah negara tua.

Antara faktor yang membawa kepada perubahan demografi itu adalah kadar kesuburan menurun dan jangka hayat rakyat meningkat.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen mencadangkan penubuhan kementerian khusus untuk warga emas sebagai persediaan berdepan populasi negara yang semakin menua.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Bayan Lepas, Sim Tze Tzin ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat turut mencadangkan penubuhan kementerian itu setelah mengambil kira pelbagai faktor yang mendorong Malaysia mencapai negara menua termasuk disebabkan aspek perkahwinan dan kelahiran.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang kini menjalankan tugas menteri ekonomi berkata kebajikan warga emas sentiasa terbela menerusi agensi dan kementerian sedia ada meskipun tiada kementerian spesifik yang menguruskan golongan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.