
PETALING JAYA: Kerajaan menggariskan 12 strategi dalam rangka tindakan perpaduan negara, daripada penekanan yang lebih besar kepada Rukun Negara sehingga mendorong pembelajaran bahasa lain dan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan rakyat.
Pelan Tindakan Perpaduan Negara (Rangka Tindakan) 2021-2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal hari ini, mengandungi tiga aspirasi dan 12 strategi, masing-masing dengan beberapa tindakan strategik.
Aspirasinya adalah untuk membina masyarakat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti kebangsaan, dan mengukuhkan ekosistem perpaduan.
Tindakan-tindakan strategik yang terkandung dalam rangka tindakan tersebut termasuk:
- Penekanan lebih besar pada Rukun Negara dalam pendidikan dan penganjuran lebih banyak program untuk mengukuhkan patriotisme.
- Menggalakkan integrasi menerusi aktiviti sosial, budaya, dan sukan dan penciptaan lebih banyak kandungan kreatif bertemakan perpaduan seperti lagu-lagu patriotik.
- Merapatkan jurang sosial, ekonomi, digital, dan pembangunan antara pelbagai daerah dan komuniti.
- Meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk urusan rasmi di agensi kerajaan dan juga di sektor swasta.
- Menggalakkan pembelajaran bahasa lain, termasuk penekanan pada pelajaran asas Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, dari peringkat pra-sekolah hingga universiti sebagai mata pelajaran pilihan.
- Meningkatkan pendedahan kepada pelbagai budaya, etnik dan agama dari peringkat pra-sekolah hingga peringkat universiti.
- Menangani isu perkauman dan agama di media sosial, termasuk pemantauan dan penguatkuasaan serta mendidik masyarakat mengenai etika dan undang-undang penggunaan media sosial.
- Mengukuh peranan pengantara sosial termasuk pemimpin masyarakat dan agama yang dapat membantu menyelesaikan perselisihan antara komuniti.
- Mengukuh peranan sekolah dan institusi pendidikan lain sebagai medium integrasi. Ini termasuk sekolah kebangsaan yang mengadakan acara sukan dengan sekolah vernakular di kawasan mereka.
- Memastikan kedaulatan undang-undang diterapkan secara adil dengan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengancam perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.