
Naib Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) Dr Wong Teck Wee berkata akta tersebut amat diperlukan sebagai ‘payung’ kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam merangka polisi lebih sistematik serta bersepadu.
“Misalnya, dasar berkaitan penjagaan kesihatan geriatrik, perumahan mesra warga emas, serta inisiatif komuniti inklusif untuk golongan berusia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya ada perundangan yang kukuh menyokongnya.
“Tanpa akta ini, banyak polisi hanya bersifat ‘ad hoc’ dan mungkin kurang berkesan dalam jangka panjang,” katanya kepada FMT.
Beliau menegaskan penggubalan akta dapat menjadi asas perlindungan terhadap pelbagai bentuk pengabaian, penderaan dan diskriminasi dihadapi warga emas.
“Dalam konteks masyarakat moden hari ini, warga emas juga perlu dijamin hak mereka untuk menjalani kehidupan yang aktif, bermakna dan bermaruah,” tambahnya.
Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan, Malaysia bakal memegang status negara tua dalam tempoh tujuh tahun seiring trend global susulan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan.
Berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah negara dikategori sebagai tua apabila sekurang-kurangnya 15% daripada rakyatnya berusia 60 tahun ke atas.
Kini, dianggarkan 11.6% penduduk Malaysia pada lingkungan usia itu.
Pada Jun tahun lalu, Bernama melaporkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kerajaan masih menyiapkan RUU warga emas selain dasar khas untuk komuniti terbabit.
Baru-baru ini, FMT melaporkan kisah golongan memerlukan termasuk warga emas yang ada diantaranya diabaikan anak, menanti bantuan makanan daripada NGO Food4U di Jalan Sayur, Kuala Lumpur, setiap Khamis.
Penyelidik bebas dasar sosial Edwin Goh pula berkata sebarang penangguhan dalam pembentangan akta itu mencerminkan kekurangan dalam dasar penjagaan komprehensif yang perlu diatasi segera.
Menurutnya, RUU warga emas berpotensi mengubah paradigma ekonomi penjagaan daripada beban kebajikan kepada aset strategik negara.
“Tanpa akta ini, golongan ‘generasi sandwich’—yang menanggung beban menjaga anak dan ibu bapa secara serentak—akan terus ditekan tanpa sokongan sistematik.
“Lebih membimbangkan norma masyarakat meletakkan tanggungjawab penjagaan kepada wanita akan terus menghambat kadar penyertaan tenaga kerja kumpulan itu sekali gus menjejaskan potensi mereka,” katanya.