Lelaki disyaki bunuh ‘mak nyah’ diberkas

Lelaki disyaki bunuh ‘mak nyah’ diberkas

Lelaki itu ditahan di Terminal Bas Bersepadu Kuala Lumpur kerana dikehendaki dalam kes bunuh di Ipoh.

Jalan Horley Ipoh kes bunuh
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Lelaki yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan ‘mak nyah’ di Jalan Horley, Kampung Jawa, Ipoh, semalam.

Tangkapan ke atas suspek 32 tahun itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak pada 10 malam di Terminal Bas Bersepadu (TBS), Kuala Lumpur.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata dengan dipandu arah suspek, pasukan polis dibawa ke pos pengawal keselamatan di Taman Tawas Idaman, pada 2.30 pagi tadi.

Katanya, pemeriksaan di lokasi tersebut membawa kepada rampasan dua anak kunci dan sebuah lori berwarna putih selain dua telefon bimbit.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Dia disyaki melanggar mangsa menggunakan lori sehingga menyebabkan kematian,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dengan permohonan reman akan dibuat hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, dilaporkan mayat mangsa tanpa pengenalan diri itu ditemui pekerja hotel kira-kira 6 pagi semalam, dalam keadaan terbaring berlumuran darah bersama rambut palsu berwarna perang.

Polis berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, mangsa dikejar sebuah lori berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek yang memandu kenderaan itu.

Susulan itu, mangsa terjatuh sebelum digilis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.