
Ketua Pegawai Operasi (COO) Petronas Dagangan Bhd Azureen Azita Abdullah berkata, pasukan itu membuat pemantauan 24 jam bersama rakan kerjasama teknikal dan stesen minyak Petronas bagi menjamin sistem dapat berfungsi dengan lancar.
“Setakat ini tidak ada isu yang kita tak boleh urus. Semua dalam kawalan. Kita boleh kesan secepat mungkin kalau ada masalah,” katanya, lapor Bernama.
Azureen Azita berkata demikian selepas melakukan tinjauan pelaksanaan inisiatif BUDI95 di stesen minyak Petronas Jalan Reko 2, Kajang, hari ini.
Beliau diiringi Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz.
Azureen Azita berkata, Petronas kini sedang memperkukuh aspek komunikasi dan latihan pasukan khas itu.
Langkah ini diambil memandangkan cabaran utama dalam minggu awal pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk memberi pemahaman kepada pengguna mengenai prosedur baharu.
“Kita di Petronas telah latih semua kru dan rakan niaga usahawan stesen. Kita juga ada kaunter pertanyaan di setiap stesen,” katanya.
“Mungkin satu dua hari ini kena terangkan dengan lebih terperinci. Tetapi insyaAllah, kalau sudah menjadi rutin harian ia akan lancar.”
Sementara itu, Khairul Annuar berkata, kebanyakan pengusaha stesen minyak menambah petugas bagi membantu pelanggan memahami kaedah pengisian minyak bersubsidi, terutama golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Walaupun proses transaksi di stesen minyak berjalan lancar, pihaknya mendapati masih terdapat pelanggan yang memerlukan bimbingan secara langsung di stesen, tambahnya.
Selain itu, katanya, pengusaha stesen turut menyediakan bahan maklumat tambahan untuk pengguna seperti paparan ‘infotainment’, risalah bercetak serta menerusi media sosial.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 tepat 12 tengah malam tadi.
Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kuota hingga 300 liter sebulan.