
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, perbandingan suara daripada keluarga, iaitu pengadu sendiri, dan pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkaitan juga telah diambil bagi tujuan pengesahan.
“Rakaman audio tersebut merupakan antara bukti penting dan sebab itu, ia diserahkan kepada CyberSecurity Malaysia untuk analisis forensik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, rakaman diserahkan oleh pengadu yang mendakwa suara itu diperoleh daripada seorang mangsa semasa kejadian, justeru kesahihannya perlu disahkan.
Sementara menunggu keputusan analisis forensik, katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini bagi mendapatkan arahan serta nasihat selanjutnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan terhadap pegawai terlibat, Kumar berkata, kes itu sedang disiasat, dan pegawai terbabit tidak menjalankan tugas penguatkuasaan secara aktif.
“Ini merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara sebelum ini yang menyatakan bahawa walaupun kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak polis perlu membuktikan elemen-elemen kesalahan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan boleh diambil,” katanya.
“Saya beri jaminan siasatan dijalankan secara tanpa kompromi, telus dan menyeluruh … dari sudut tindakan dalaman, siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard sedang dijalankan dan pada masa sama, pihak kami menyiasat daripada sudut kewujudan elemen jenayah.”
Pada awal pagi 24 Nov lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Dalam kejadian itu, anggota polis yang diserang cedera parah pada lengan kirinya.
Bagaimanapun, ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan tersebut dan susulan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes itu.