KKM tubuh pasukan petugas khas tangani krisis bekalan ubat

KKM tubuh pasukan petugas khas tangani krisis bekalan ubat

Pasukan khas itu melaksanakan pemantauan data secara masa nyata dan mempelbagaikan sumber pemerolehan ubat dari pasaran antarabangsa bagi memastikan bekalan negara kekal stabil.

medicine tablet ubat kkm
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata KKM mengaktifkan mekanisme amaran awal, di mana pembekal wajib melaporkan sebarang potensi kekurangan bekalan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal menjelang Julai ini.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan sebagai pusat kawalan utama.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu susulan cabaran dinamik global membabitkan krisis tenaga, bekalan bahan mentah dan lonjakan kos logistik kian meruncing di seluruh dunia berikutan ketegangan di Asia Barat.

Beliau berkata, pasukan itu kini melaksanakan pemantauan data secara masa nyata, selain mempelbagaikan sumber pemerolehan ubat dari pasaran antarabangsa bagi memastikan bekalan negara kekal stabil.

“Pada masa sama, kita sentiasa memastikan penimbal stok barisan hadapan bagi ubat dikategorikan kritikal sentiasa kukuh dan mampu bertahan lebih 60 hari demi melindungi pesakit,” katanya dalam hantaran Facebook.

Menurutnya, perkara itu antara dibincangkan dalam sesi taklimat kepada friends of ministry (FoM) yang dipengerusikannya pagi tadi bagi menyelaras tindakan bersama Ahli Parlimen dalam menjuarai isu kesihatan di peringkat akar umbi.

Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan bagi memastikan rantaian bekalan ubat dan peranti perubatan negara kekal terjamin.

Bagi menguruskan krisis kelangsungan bekalan ubat secara proaktif, beliau berkata, KKM mengaktifkan mekanisme amaran awal, iaitu pembekal wajib melaporkan sebarang potensi kekurangan bekalan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal menjelang Julai 2026.

“Bagi bekalan peranti perubatan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memeterai perjanjian strategik dengan pihak berkuasa di China untuk menstabilkan bekalan bahan mentah pembuatan kritikal seperti resin dan naphtha bagi membolehkan pengilang tempatan beroperasi tanpa gangguan.

“Special Access Pathway turut disediakan bagi mempercepat kemasukan kelengkapan perubatan mendesak bagi memastikan kelancaran operasi di dewan bedah dan hospital.”

Justeru, katanya, KKM akan terus memperkukuh daya tahan sistem kesihatan melalui pendekatan seluruh kerajaan bagi memastikan pesakit tidak terkesan oleh sebarang kejutan global.

“Ini bagi memastikan setiap perancangan strategik diterjemahkan kepada tindakan pantas dan tersusun di lapangan agar setiap pesakit terus dilindungi dan tidak terkesan oleh apa jua kejutan global mendatang.” .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.