
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata dalam empat serbuan berasingan pada 18 dan 20 Ogos itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor turut menahan empat individu dipercayai berperanan sebagai pekerja sindiket.
Beliau berkata, sindiket memilih pangsapuri berpagar dan berpengawal dipercayai untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.
“Dalam operasi pertama di tiga unit pangsapuri, polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia 29 hingga 33 tahun.
“Hasil serbuan menemukan 7.15kg serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), 1.26kg serbuk ekstasi, 11g ketamin, dan 230 biji pil ekstasi di dalam sebuah unit pangsapuri,” katanya menurut Bernama pada sidang media, di Johor Bahru.
Beliau berkata, hasil serbuan susulan di sebuah lagi pangsapuri, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan merampas 8.34kg serbuk MDMA, 5.61kg serbuk ekstasi, 11.25g ketamin, 10 biji pil ekstasi, empat biji pil erimin 5, dan 19 botol cecair dadah.
Ab Rahaman berkata, menerusi keempat-empat serbuan terbabit, polis menyita wang tunai RM7,050, dua cincin emas, dan sebuah kereta.
Beliau berkata, hasil saringan urin mendapati tiga yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan mendapati seorang memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Semua direman hingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.