
Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata berdasarkan data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), jumlah sebenar pelajar antarabangsa di lima RU hanyalah sekitar 21.3%, bukannya 27% seperti didakwa.
“Jumlah pelajar di lima RU adalah 180,024 orang, dengan 141,636 adalah pelajar warganegara dan hanya 38,388 pelajar antarabangsa. Peratusan sebenar ialah 21.3%.
“Buat kira-kira pun salah. Macam mana seorang bekas naib canselor dan YB boleh buat silap macam ini?” katanya dalam kenyataan.
Haim adalah bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum menyertai PAS pada 10 Jun 2023 dan bertanding pada PRN Kedah mewakili parti itu pada Ogos tahun sama.
Pada sidang DUN minggu lepas, exco jawatankuasa industri & pelaburan, pengajian tinggi, dan sains, teknologi & inovasi mendakwa 27% pelajar di lima universiti awam utama negara adalah pelajar asing, sekali gus menimbulkan kebimbangan kononnya peluang anak tempatan semakin berkurangan.
Shaiful turut mempersoalkan mengapa Haim hanya memilih lima universiti terbabit untuk dijadikan asas hujah, sedangkan ada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
“Adakah 15 IPTA lain tidak layak diiktiraf, termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM)? Jika dilihat keseluruhan IPTA, jumlah pelajar antarabangsa hanyalah 8.7%. Ini selari dengan kenyataan KPT bahawa angkanya berada dalam lingkungan 5-10%,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan memang menggalakkan universiti menjana pendapatan melalui pengambilan pelajar antarabangsa – satu dasar yang sah, terbuka dan tidak menindas pelajar tempatan.
“Jika benar ada pelajar tempatan ‘tercicir’, Haim perlu buktikan dengan data. Pengambilan pelajar tempatan adalah berasaskan merit dan kerajaan menyediakan pelbagai laluan untuk mereka melanjutkan pengajian. Pelajar antarabangsa pula membayar yuran penuh tanpa subsidi,” katanya.
Shaiful turut mempersoalkan tindakan Haim yang menggunakan hantaran Facebook oleh tokoh asing sebagai hujah ketika persidangan DUN Kedah khususnya berhubung dakwaan ‘Graduate Pass’ untuk 10,000 pelajar Bangladesh.
“Apakah bekas naib canselor bergantung kepada media sosial asing sebagai rujukan, sedangkan data rasmi kerajaan jelas menunjukkan tiada perjanjian seumpama itu?”