
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Martadha Mohamed, berkata kenyataan itu tidak mencerminkan pendirian sebenar kerajaan yang mengiktiraf ranking universiti sebagai sebahagian ekosistem pendidikan tinggi, tetapi tidak dijadikan matlamat muktamad.
Menurutnya, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir telah menekankan yang ranking mempunyai peranan penting kerana ‘secara semula jadi’ meningkatkan persaingan, tambah baik berterusan, mengangkat budaya inovasi serta penanda aras IPT di peringkat tempatan serta global.
“Menurut beliau lagi, keterlihatan diberikan ranking turut membuka ruang kepada jalinan kolaborasi, khususnya bagi universiti-universiti muda di rantau Asia.
“Namun beliau juga menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak mahu sistem pendidikan tinggi negara terperangkap dalam obsesi terhadap angka dan kedudukan semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Sharifah Munirah dalam satu sesi panel, baru-baru ini berkata pembabitan IPT dalam sistem ranking QS World University Rankings, Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities sebagai suatu pemaksaan sistem ekonomi neoliberal diterima secara membuta tuli.
Jelasnya, penarafan universiti di peringkat global kini tidak lebih hanya sekadar kegiatan mengaut keuntungan oleh organisasi terlibat, sambil menggesa mekanisme penilaian alternatif perlu diwujudkan.
Beliau juga mendakwa pernah mencadangkan kepada KPT supaya meninggalkan ranking dan mekanisme penilaian alternatif diteroka, namun tiada perkembangan lanjut setakat ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata kritikan dan perbahasan dalam isu itu perlu ditanggapi secara rasional dan berlapik, selain tidak ditolak mentah-mentah.
“Kerana ia mengangkat kebimbangan sah terhadap kesan tekanan ranking terhadap budaya pengajaran, penerbitan dan kebebasan intelektual universiti.
“Namun begitu melabelkan penyertaan IPT Malaysia dalam sistem ranking sebagai tindakan membuta tuli adalah berlebihan,” katanya.
Ahmad Martadha juga berkata KPT di bawah pentadbiran Zambry telah mewujud anjakan dasar ke arah pendidikan tinggi lebih berimbang, beretika dan berteraskan impak, walaupun ranking masih diiktiraf sebagai sebahagian daripada realiti global.
Beliau berkata Zambry antaranya melaksanakan langkah konkrit membina ekosistem pendidikan tinggi segar dan kondusif, IPT sebagai ruang membina adab, watak dan kapasiti manusiawi serta menggerakkan program perkaderan kepimpinan muda.
“Peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan akademik dan institusi, dengan fungsi latihan, rujukan dan pembangunan kepakaran yang lebih luas di peringkat serantau.
“KPT juga mengangkat penganjuran program “Festival of Ideas” secara tahunan sebagai wadah menghimpunkan hasil penyelidikan, wacana ilmiah, dialog intelektual dan kearifan tempatan, sekali gus menghidupkan semula budaya ilmu di kampus,” katanya.